SERDANG, 14 April (Bernama) -- Laporan kononnya terdapat 300,000 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sarawak ketika ini adalah tidak betul, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata sebenarnya tidak ada perangkaan tepat khususnya oleh Jabatan Imigresen dan polis berhubung jumlah PATI di negeri terbesar di Malaysia itu buat masa ini.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tersebar di media online terdapat 300,000 pendatang asing di Sarawak ketika ini...ini tidak betul," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen 2014 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, Selasa.
Wan Junaidi berkata dakwaan berkenaan memberi kesan dan menarik perhatian penduduk di Sarawak kerana masyarakatnya tidak biasa melihat kedatangan pendatang asing di negeri itu.
Meskipun kemasukan pendatang asing adalah terkawal, Kementerian Dalam Negeri melaksanakan juga Ops Bersepadu Sarawak bagi membanteras dan membendung kedatangan PATI, katanya.
Operasi pertama Ops Bersepadu Sarawak yang melibatkan agensi atau pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Tanah dan Survey, Lembaga Air Sarawak dan Syarikat Sesco Bhd (Sesco) yang membekalkan elektrik, dilaksanakan tiga minggu lalu dan mendapati PATI di Sarawak datang daripada pelbagai lokasi antaranya Kalimantan, Indonesia, selain kaum Bajau atau Suluk dari Filipina.
Beliau berkata operasi itu juga menekankan kepada usaha menghalang pendatang asing daripada terus bertapak dan meneroka tanah-tanah di negeri itu seterusnya membina kediaman secara kekal.
"Operasi ini akan diteruskan sehingga masalah kedatangan pendatang asing dapat dicegah daripada menjadi lebih parah," katanya yang turut mempengerusikan jawatankuasa operasi berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sarawak Hamfatullah Syawal Hamdan yang ditemui berkata risikan Imigresen mendapati jumlah PATI di negeri itu dianggarkan kurang daripada 100,000 orang.
"Hot spot atau lokasi tumpuan mereka juga telah dikenal pasti," katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut risikan berkenaan.
-- BERNAMA
KDN Nafi Wujud 300,000 PATI Di Sarawak
Reviewed by Admin
on
April 15, 2015
Rating:
Reviewed by Admin
on
April 15, 2015
Rating:

No comments: