Tunku Mahkota Johor (TMJ) DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mencabar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan dirinya agar nyatakan tarikh dan tempat agar mereka boleh "bertemu".
Kenyataan TMJ yang dipaparkan pada status FB JOHOR Southern Tigers juga mengecam pahlawan kekunci dan juga kepada semua penyokong bola sepak dari mana-mana negeri, supaya janganlah setakat berani berbunyi di alam maya.
Berikut adalah kenyataan penuh TMJ-
TINDAKAN PENGECUT
Tindakan paling tidak bertanggungjawab sejak tahun 2013 ini jelas menunjukkan sikap yang tiada ketamadunan. Setelah mencetuskan pergaduhan dan membaling objek, kemudiannya takut dan terus membuat laporan.
Sedar atau tidak bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada penyokong JDT tersebut adalah datangnya dari rata-ratanya bersama keluarga dan anak kecil. Dan yang mengiringi penyokong keluar adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Mengapa tidak tanya sendiri kepada PDRM, adakah kami yang mulakan dahulu? Lagu JDT Bangsat mula berkumandang dinyanyikan oleh penyokong Perak yang 90% penuh di stadium malam itu.
Cadangan kepada badan induk iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kalau hendak mengambil tindakan lebih berkesan dendalah pasukan, bukan penyokong. Kerana penyokong tidak peduli kepada bayaran denda yang dikenakan. Dendalah mata pasukan, itu adalah tempias paling berkesan yang akan dirasai oleh semua pasukan termasuk JDT.
Kronologi insiden selepas tamat perlawanan :
- penyokong Perak berkumpul dan memenuhi lobi utama stadium dan hanya bersurai selepas dikerahkan oleh pasukan keselamatan.
- jalan utama menuju ke stadium turut dibanjiri penyokong Perak sehingga menghalang laluan kenderaan.
- dua bas JDT telah dibaling dengan objek keras.
- perbincangan diadakan oleh pengurusan JDT dan Ketua Polis Daerah Ipoh untuk mendapatkan kebenaran menggunakan trak FRU bagi menjamin keselamatan pemain.
- penyokong JDT yang berada di stadium diarahkan berkumpul di grandstand dan padang.
- beberapa penyokong Perak meluru masuk ke dalam stadium dari arah bertentangan grandstand dan membaling objek keras ke arah penyokong JDT.
- pada jam 1.00 pagi, penyokong JDT diiringi pasukan keselamatan berjalan kaki ke Kem FRU Sg. Senam (berjarak 300-400 meter).
- penyokong menaiki bas dan diiringi pasukan keselamatan sehingga jalan masuk ke lebuhraya.
Saya paling pantang menegakkan orang yang bersalah. Sebagai contoh saya telah bubarkan Inter Johor Firm (IJF). Kenapa pasukan lain tidak membubarkan anasir-anasir negatif ini.
Kepada pahlawan kekunci dan juga kepada semua penyokong bola sepak dari mana-mana negeri, janganlah setakat berani berbunyi di alam maya. Kalau tidak berpuas hati, janganlah membaling batu kepada penyokong JDT. Balinglah kepada Presiden PBNJ kerana sayalah yang merevolusikan pembangunan bola sepak negeri Johor. Sila beritahu saya tarikh dan tempatnya, dan saya akan datang.
Teringat pula satu kisah semasa saya kecil dahulu orang-orang tua Johor berkata. Dahulu semasa manusia bermesyuarat dan duduk diatas pokok, di Johor, orang-orang Johor sudah mula memandu Rolls Royce.
DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor - Sarawakiana
Nyatakan Tarikh Dan Tempatnya, Saya Akan Datang - Cabar TMJ
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 26, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 26, 2015
Rating:

No comments: