KUCHING: Sarawak dijangka akan menerima peningkatan dari segi kedatangan pelawat dari Semenanjung Malaysia dan luar negara pada Pesta Menuai Sedunia (WHF) 2015, yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei depan di Kampung Budaya Sarawak (SCV).
Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, perkara itu diyakini dapat dicapai memandangkan WHF kali ini bukan sahaja menampilkan acara baharu tetapi melalui promosi pakej yang ditawarkan bersama penerbangan AirAsia.
Menurutnya, WHF kali ini julung kalinya akan menampilkan acara baharu iaitu Pesta Makanan Dapur Sarawak, yang memberi peluang pelawat mencuba makanan Sarawak dan menyertai pertandingan memasak.
“Pada acara tahun lepas (2014) kita menerima 6,000 orang pelawat berbanding 3,000 orang pada 2013, ia menyaksikan peningkatan hampir 100 peratus.
“Tahun ini kita menjangkakan lebih ramai pelawat memandangkan kita memperkenalkan pakej baharu, iaitu Gawai Village Stay Tourism Package.
“Pakej ini mendapat kerjasama penerbangan Air Asia yang dipromosikan melalui atas talian (online) di mana pakej merangkumi kos tambang, penginapan dan tiket masuk pesta,” katanya pada sidang media mengenai WHF 2015 yang turut dihadiri Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Pengurus Besar SCV juga pengerusi pengelola WHF Jane Lian Labang di pejabatnya di sini, semalam.
Tambah Abang Johari, Sarawak mempunyai tiga kategori pelawat iaitu tempatan atau penduduk Sarawak, warganegara dan antarabangsa.
Jelasnya menurut statistik kedatangan pelancong tahun lepas, Sarawak menerima 4.8 juta pelawat berbanding yang disasarkan 4.3 juta.
“Daripada statistik itu kategori pelawat Malaysia (warganegara) dan antarabangsa masing-masing menunjukkan peningkatan.
“Maka kita percaya melalui acara ditawarkan sempena WHF serta pakej yang ada kita menerima lebih ramai ketibaan bagi kedua-dua kategori itu,” tegasnya yang juga Menteri Perumahan.
Mengulas lanjut mengenai WHF, Kementerian Pelancongan komited untuk memperbaiki dan memperkenalkan acara baharu setiap tahun bagi menarik lebih ramai ketibaan ke negeri ini.
Katanya kementerian kini tidak hanya berlandaskan untuk menyertai konvensyen dalam usaha menggalakkan lagi industri pelancongan Sarawak tetapi membawa masuk para pelacong.
WHF antara lain pada kali ini menampilkan penyertaan daripada negara jiran dan Semenanjung Malaysia serta Sabah untuk membuat persembahan kebudayaan, iaitu dari Sambas (Indonesia), Negeri Sembilan dan Sabah.
Acara lain menarik iaitu pertandingan Ratu Cantik WHF 2015 yang menampilkan 16 finalis dan WHF kali ini bertemakan legenda masyarakat Iban, ‘Kumang’ akan dipersembahkan pada hari kedua pesta iaitu 2 Mei.
Tiket masuk ke pesta boleh dibeli di SCV dari 1 hingga 3 Mei iaitu semasa acara berlangsung di pintu masuk SCV dan ia dijual pada harga RM60 bagi dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak untuk sepajang hari.
Orang ramai juga boleh membeli tiket secara online melalui airasia redtix.com atau maklumat lanjut serta tempahan boleh menghubungi Grace atau Arinda di talian 082-826108/411 atau faks 082-846988.
E-mel dan pertanyaan boleh dibuat juga melalui enquiry@scv.com.my atau layari laman sesawang rasmi www.whf.com.my dan www.scv.com.my atau melalui media sosial facebook SCV. - UB
Sarawak Dijangka Terima Peningkatan Pelawat Pada WHF 2015
Reviewed by uMieySurianie
on
April 15, 2015
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
April 15, 2015
Rating:

No comments: