Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam beberapa entri di dalam blognya telah menimbulkan persoalan dan kritikan terhadap dasar-dasar yang dijalankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya mengenai 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menurut beliau, 1MDB sebagai syarikat dengan modal RM1 juta tidak boleh meminjam sehingga 42,000 kali nilai modalnya tanpa sandaran dan hanya boleh berbuat demikian dengan jaminan kerajaan. Kenyataan itu seolah-olah semua hutang 1MDB dijamin kerajaan dan jika 1MDB rugi, kerajaan akan menanggung akibatnya.
Sebenarnya hanya RM 5.8 bilion hutang 1MDB yang dijamin kerajaan. Baki hutang lain dijamin oleh 1MDB, disandarkan kepada aset atau dijamin oleh rakan kongsi, iaitu, International Petroleum Investment Co PJSC (IPIC), sebuah syarikat pelaburan kerajaan Abu Dhabi.
1MDB adalah syarikat dengan liabiliti terhad dan kerugian syarikat tidak ditanggung oleh kerajaan melainkan bon yang dijamin kerajaan.
Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan adalah dakwaan 1MDB gagal membayar hutang sebanyak RM5.5 bilion yang dipinjamkan oleh lima buah bank, iaitu Maybank (58.9 %), RHB (32.4 %), Alliance Investment Bank Bhd (4.06%), Malaysia Building Society Bhd (3.24%) dan Hwang DBS Investment Bhd (1.29%).
Ada yang cuba menyamakan kegagalan ini dengan kegagalan Renong-UEM dan kegagalan sistemik sistem kewangan dan perbankan negara walaupun agensi penarafan Moody menafikan hutang 1MDB akan mengakibatkan kegagalan sistemik.
Hakikatnya, 1MDB telah membayar secara penuh hutang sebanyak RM2 bilion kepada Maybank dan RHB pada 13 Februari 2015, lebih awal dari tempoh berakhir pinjaman mengikut syarat yang ditetapkan dan baki sebanyak RM3.5 bilion telah ditukar kepada hutang jangka panjang berakhir pada Ogos 2024.
Mengenai isu komisen Goldman Sachs dan kadar faedah bon yang tinggi, 1MDB telah menjelaskan tentang perkara ini dan sejumlah perkara lain dalam soal jawab (FAQ) 1MDB di laman web 1MDB.
Kita tidak harus terlepas pandang beberapa perkara mengenai aset dan pelaburan 1MDB dalam industri tenaga, antaranya:-
i. Pemilikan 15 loji kuasa dan desalinasi di enam buah negara, Mesir, Bangladesh, UAE, Sri Lanka, Pakistan dan Malaysia dengan kapasiti penjanaan tenaga bersih 5594MW
ii. Pembinaan 3 lagi loji kuasa baru, iaitu Jimah East Power di Port Dickson, loji kuasa Gas di Melaka dan loji solar di Kedah
iii. Pembelian 310 ekar tanah di Pulau Indah untuk projek-projek yang berkaitan dengan tenaga
Perlu difahami nilai aset dan pelaburan 1MDB dalam bidang hartanah, misalnya:
i. Pembangunan 70 ekar tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM40 bilion dan dijangka dapat menarik lebih 250 syarikat global, mewujudkan 500,000 pekerjaan secara langsung dan tidak langsung
ii. Pembangunan 495 ekar projek Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM155 bilion yang dihubungi laluan keretapi berkelajuan tinggi ke Singapura dan MRT Kuala Lumpur, salah satu stesennya dari TRX serta dapat menjadi pemangkin pembangunan koridor selatan Malaysia dengan kawasan pertumbuhan satelit di Seremban, Batu Pahat, Muar, Melaka dan Bandar Nusajaya.
iii. Pembinaan lapan kemudahan ketenteraan baharu untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bernilai RM2.7 bilion termasuk dua lapangan terbang udara baharu, iaitu 500 ekar pangkalan TUDM di Sendayan dan flying wing PDRM di Subang.
iv. Pembelian tanah dan pembinaan 30,000 rumah kos rendah dan mampu milik khususnya di Pulau Pinang (9,999 unit) dan di Lembah Klang (20,000 unit di Bandar Malaysia)
Dalam hal ini, Petrosaudi telah menyatakan bahawa pelaburan ini telah dipulangkan bersama keuntungan dan ia tercatat dalam akaun beraudit.
1MDB juga telah menyatakan pelaburan dalam syarikat usahasama dengan Petrosaudi ini telah ditukarkan ke dalam bentuk nota Murabaha dan dibayar sepenuhnya pada jumlah AS$2.318 bilion dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta pada 2013.
Perlu diberi penekanan, walaupun fundamental atau asas ekonomi negara adalah kukuh dan keyakinan terhadap ekonomi negara sangat tinggi (terbukti apabila Sukuk Global Malaysia yang diterbitkan terlebih langganan sehingga RM32.8 bilion), namun ini masih boleh dirosakkan oleh khabar angin dan persepsi yang negatif terhadap negara.
PENULIS ialah ahli Exco Pergerakan
Pemuda UMNO. - UM
Tun M Gagal Jelaskan Isu 1MDB Sepenuhnya
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 27, 2015
Rating:
Reviewed by Salfian Nawawi
on
April 27, 2015
Rating:

Kenapa pulak Tun jang mesti jelaskan. Soalan2 yang Tun sendiri kemukakan perlu di jawab balik oleh Tun sendiri ke.
ReplyDelete