KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan siling perbelanjaan pembangunan RM260 bilion bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dari 2016 hingga 2020, lima tahun terakhir sebelum Malaysia memasuki era negara maju.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding peruntukan RMK10 yang berakhir tahun ini, iaitu sebanyak RM230 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan RMK11 di Dewan Rakyat hari ini, berkata peruntukan itu akan memastikan sumbangan signifikan berterusan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, serta perusahaan kecil dan sederhana kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Rancangan Malaysia Ke-11 ini adalah pelonjak akhir sebelum kita memasuki gelanggang negara maju.
Pada waktu itu kita seharusnya telah mencapai beberapa perkara seperti Pendapatan Negara Kasar per kapita AS$15,000. "Kadar Pekali Gini negara dijangka semakin mengecil daripada 0.401 pada 2014 kepada 0.385 pada 2020," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.
Namun, dalam pembentangan selama sejam bermula 11.30 pagi itu, Najib turut mengingatkan bahawa negara maju tidak boleh didefinisikan dari sudut pendapatan per kapita semata-mata, sekalipun dari segi piawaian antarabangsa nilai tersebut menepati tahap pendapatan negara maju.
Justeru, katanya di bawah RMK11, pelbagai projek telah dirancang bagi memacu kebolehdayaan ekonomi rakyat dengan memastikan pembangunan bandar dan luar bandar adalah saling melengkapi.
Beliau berkata, pelbagai pembangunan infrastruktur berimpak tinggi dirancang bagi mencapai status negara maju termasuk pembinaan lebuh raya, kemudahan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT), loji jana kuasa elektrik, loji rawatan air dan inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.
Antaranya, kerajaan akan membina jalan berturap sepanjang 3,000 kilometer lagi di luar bandar bagi tempoh 2016-2020 serta meningkatkan akses bekalan air dan elektrik di seluruh negara kepada 99 peratus pada 2020.
Untuk bekalan air bersih dan terawat, lebih RM10 bilion diluluskan melalui Projek Bekalan Air Luar Bandar dan RM3 bilion untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar.
Bagi pengangkutan awam pula, RMK11 akan menyaksikan pembinaan Klang Valley Mass Rapid Transit Laluan Sungai Buloh ke Kajang, Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan LRT3.
"Seterusnya, loji-loji jana kuasa elektrik baharu untuk menjana 7,626 megawatt kuasa elektrik akan dibina. Antaranya ialah tiga projek loji jana kuasa elektrik arang batu di Johor, Perak dan Negeri Sembilan serta dua projek loji jana kuasa elektrik gas di Pulau Pinang dan Johor.
"Ini semua dianggar melibatkan pelaburan RM28 bilion dan akan mewujudkan lebih kurang 35,000 peluang pekerjaan baharu," katanya.
Selain itu, pembinaan lapangan terbang Mukah dan Lawas di Sarawak, pembesaran lapangan terbang Kota Baharu serta penambahbaikan Pelabuhan Kuantan juga akan dilaksana semasa RMK11.
Najib berkata, RMK11 juga akan menyaksikan terminal Padang Besar dinaik taraf bagi merancakkan lagi kendalian kargo dari selatan Thailand untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang.
Selain itu, pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang akan diteruskan dengan pelaburan sebanyak RM53 bilion pada 2016.
Berhubung pembangunan ekonomi wilayah, Najib berkata kerajaan menyasarkan RM236 bilion pelaburan dan mewujudkan 470,000 pekerjaan lagi di lima koridor wilayah iaitu Iskandar Malaysia, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Utara dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak.
"Dalam tempoh 2011 hingga 2014, kelima-lima koridor wilayah tersebut telah berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM307 bilion dengan 57 peratus atau RM175 bilion pelaburan, serta menjana lebih 427,000 peluang pekerjaan," katanya.
Bagi melengkapi pembangunan di Lembah Kelang, sebuah projek pembangunan bersepadu baharu dikenali Malaysia Vision Valley akan dibangunkan di bahagian barat Negeri Sembilan. Projek meliputi beberapa kluster strategik di Nilai, Seremban dan Port Dickson dengan cadangan kawasan seluas 108,000 hektar.
Najib berkata secara keseluruhan, melalui RMK11 itu sebanyak 1.5 juta peluang pekerjaan baharu bakal diwujudkan dengan menambah baik produktiviti buruh dan gaji serta mempertingkat kecekapan operasi pasaran buruh. - BERNAMA
#RMK11 : Siling Perbelanjaan RM260 Bilion
Reviewed by Unknown
on
May 21, 2015
Rating:

No comments: