Seo Services

Ibu Empat Anak Diberkas Bersama Dadah Bernilai RM27,800


Seorang ibu kepada empat anak bersama teman lelakinya diberkas kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai RM27,800 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Al-Amin, di sini, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud, berkata bertindak atas risikan, pihaknya mengesan wanita berumur 38 tahun itu yang juga peniaga kedai makan bersama seorang pemuda berusia 24 tahun di sebuah rumah yang dipercayai disewa wanita terbabit.

"Kami menemui kedua-dua suspek ini di dalam sebuah bilik dan hasil pemeriksaan, polis menemui 1,020 pil dadah dipercayai pil kuda dan 50 gram syabu yang disembunyikan di atas almari pakaian dan almari solek di dalam bilik yang didiami mereka," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mohd Adli berkata, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis Honda dan merampas wang tunai RM5,300, yang dipercayai hasil jualan dadah.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas wanita itu negatif manakala lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Lelaki itu mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan dadah manakala wanita berkenaan pernah ditahan kerana menjalankan perniagaan karaoke tanpa lesen," katanya. - BERNAMA
Ibu Empat Anak Diberkas Bersama Dadah Bernilai RM27,800 Ibu Empat Anak Diberkas Bersama Dadah Bernilai RM27,800 Reviewed by Unknown on July 01, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.