Seo Services

Lima Lagi Pangkalan Hadapan Bakal Diwujud Di Sempadan Malaysia-Thailand


SIK: Lima lagi Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) Tentera Darat akan diwujudkan di sempadan Malaysia-Thailand, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata FOB yang membolehkan pengawasan rapi dibuat di kawasan sempadan, akan diwujudkan di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand seperti Kedah, Perlis dan Perak.

"Melaluinya kita mampu hantar pasukan peronda yang banyak, dan dominasi kawasan itu jelas lebih baik," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Taktikal 1 Rejimen Sempadan di sini malam tadi.

Beliau berkata penambahan FOB itu merupakan hasil daripada kejayaan dua projek perintis FOB sebelum ini yang beroperasi di zon utara iaitu FOB Weng dan FOB Temenggor, selama hampir dua tahun.

Penubuhan FOB, menurutnya, selain mampu mengekang masalah penyeludupan, turut berupaya meningkatkan keberkesanan pelaksanaan operasi terutamanya untuk mendominasi keseluruhan kawasan persempadanan.

"Sebab itu, melihat rentas sempadan, kita mesti juga lihat rentas jenayah dan rentas agensi dan keperluan Angkatan Tentera Malaysia untuk bekerjasama," kata Hishammuddin.

Dalam pada itu, beliau turut memuji Tentera Darat dan mereka yang ditugaskan di pintu sempadan kerana bukan sahaja perlu berhadapan dengan jenayah tradisional, malahan berdepan ancaman baharu seperti penganas IS.

Menurutnya, walaupun tahap ancaman keselamatan IS di negara ini terkawal, perkembangan di sempadan akan dipantau rapi dengan kerjasama negara-negara jiran.

Hishammuddin semalam melawat Kem Gubir di Sik dan Markas Taktikal di sini untuk lawatan dan penyampaian sumbangan Hari Raya kepada anggota tentera yang bertugas, sebelum berbuka puasa bersama mereka.- BERNAMA
Lima Lagi Pangkalan Hadapan Bakal Diwujud Di Sempadan Malaysia-Thailand Lima Lagi Pangkalan Hadapan Bakal Diwujud Di Sempadan Malaysia-Thailand Reviewed by Unknown on July 14, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.