Seo Services

Pupuk Kesedaran Kepentingan Perancangan Pewarisan


LAHAD DATU: Kesedaran rakyat terhadap kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kerajaan sebenarnya masih kurang dan menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan sedia ada.

Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri berkata, memupuk kesedaran mengenai kepentingan perancangan pewarisan kepada masyarakat di Malaysia amatlah penting.

"Ramai yang tidak menyedari kepentingan Perancangan Pewarisan yang merangkumi pusaka, penulisan wasiat dan pembukaan akaun amanah. Hakikatnya, Perancangan Perwarisan merupakan kesinambungan kepada pengurusan kewangan yang dilakukan semasa hayatnya."

Nancy, yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata demikian dalam ucapannya pada Program Jejak Waris, anjuran Amanah Raya Berhad bertempat di Masjid Ar- Raudah, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, program-program seumpama ini juga akan diperhebatkan dari masa ke semasa bagi membolehkan agensi Kerajaan mendampingi rakyat dan ianya juga penting sebagai platform yang membolehkan pihak Kerajaan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan perhatian.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan Amanah Raya Berhad bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan perancangan pewarisan kepada masyarakat di Malaysia dan program seumpama ini telah diadakan baru-baru ini di Sibu, Sarawak dan di Teluk Intan, Perak pada tahun 2014, katanya, di samping ianya merupakan peluang terbaik untuk mendekatkan dirinya dengan rakyat dan seterusnya mendengar masalah berkaitan perancangan pewarisan di peringkat akar umbi.

"Kita tidak boleh mengandaikan bahawa perancangan pewarisan tidak penting dan boleh dilengahkan kerana kita masih muda, dan perancangan pewarisan hanya sesuai ketika kita sudah jatuh sakit atau nazak."

"Ini merupakan satu mentaliti yang salah kerana kita tidak tahu sama ada esok atau lusa ajal akan menjemput kita. Justeru, sikap berkenaan harus diubah dengan melakukan perancangan awal, kerana ia dapat menjamin kehidupan keluarga kita dan juga generasi kita seterusnya. Ingatlah bahawa merancang dapat memberi jaminan terhadap masa depan generasi kita, kerana apabila kita sudah tiada lagi, segala urusan seperti pembayaran hutang serta komitmen, dapat ditadbir dengan baik tanpa menyusahkan waris kita."

Amanah Raya Berhad sebagai Pemegang Amanah kepada individu, menawarkan perkhidmatan perancangan pewarisan merangkumi Pengurusan Harta Pusaka, Wasiat, Amanah dan yang terbaru adalah Hibah. Mungkin ramai yang masih tidak faham tentang fungsi Amanah Raya Berhad yang bertindak sebagai sebuah agensi yang membantu menguruskan pembahagian harta pusaka secara adil kepada waris-waris yang berhak. Dan mungkin juga ada yang berpendapat bahawa perkhidmatan ini hanya sesuai untuk golongan yang berpendapatan tinggi, berharta dan golongan berada.

Ini tidak benar sama sekali, kerana sesiapa sahaja boleh melaksanakan perancangan pewarisannya asalkan mereka percaya bahawa kelangsungan hidup waris-waris kita merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kita juga.

"Masyarakat juga perlu memahami dengan jelas peranan Amanah Raya Berhad sebagai pentadbir di dalam menguruskan harta pusaka, wasiat, amanah dan hibah adalah bagi mengelak masalah pengurusan harta di kalangan waris-waris yang ditinggalkan daripada terus berlarutan."

Katanya, kecuaian individu di dalam merancang pembahagian harta pusaka mereka melalui Wasiat, Amanah dan juga Hibah apabila mereka tiada kelak merupakan salah satu sebab terjadinya pertelingkahan di antara waris-waris.

"Amanah Raya Berhad selaku agensi yang prihatin mengenai Perancangan Pewarisan telah menyediakan berbagai produk yang dirangkumkan bersekali untuk memastikan kesinambungan hidup waris-waris kita terjamin."

"Kita perlu melaksanakan perancangan pewarisan kerana selain dapat membantu dari segi perancangan dan pengurusan harta secara lebih profesional dan sistematik, saya melihat kepada peranan Amanah Raya Berhad di dalam memastikan waris tidak teraniaya oleh kaum keluarga sendiri yang bertindak mengambil kesempatan dalam pembahagian harta."

"Merancang harta melalui perancangan pewarisan merupakan satu tindakan terbaik dalam menzahirkan keinginan dan keazaman kita terhadap harta yang kita usahakan semasa hidup agar dapat diagihkan kepada keluarga tersayang setelah ketiadaan kita nanti," katanya lagi.

Nancy mengingatkan, jika sesuatu terjadi kepada diri kita, dan tanpa sebarang persiapan, berkemungkinan waris yang berhak tidak mendapat satu sen pun kerana sikap kita yang menganggap perancangan pewarisan merupakan perkara yang tidak perlu dititik beratkan semasa kita masih hidup.

"Inilah antara punca berlakunya persengketaan keluarga. Harta tidak dibahagi dengan adil atau harta dibolot oleh seorang pewaris sahaja dan lebih buruk lagi sekiranya harta yang kita kumpulkan semasa hidup, tidak dapat diwarisi oleh pewaris yang berhak disebabkan oleh kegagalan kita untuk merancang semasa masih hidup."

"Akibatnya, harta tersebut tidak dapat dibahagikan kerana waris-waris tidak mengetahui mengenai kewujudan harta berkenaan dan di sini lah, Wasiat, Amanah dan Hibah memainkan peranan," tambahnya lagi.

Nancy menyatakan, semua lapisan masyarakat disaran agar mengambil peluang ini bagi merancang pewarisan dengan baik supaya waris yang ditinggalkan apabila kita meninggal dunia nanti, menerima hak mereka sebagaimana yang telah kita rancangkan.

"Selain itu, apa juga hutang yang ditanggung, dapat diselesaikan dengan pelantikan Amanah Raya Berhad sebagai Pentadbir kepada Harta Pusaka si mati menerusi arahan melunaskan hutang seperti yang telah diwasiatkan oleh pewasiat melalui perancangan pewarisannya."

"Jejak Waris merupakan satu platform bagi membolehkan masyarakat berurusan tanpa perlu pergi ke cawangan Amanah Raya Berhad yang terletak jauh di Bandaraya Kota Kinabalu. Ia merupakan satu pendekatan yang sangat efisyen kerana banyak kebaikan yang dapat dicapai antara kedua-dua pihak sama ada Kerajaan dan rakyat itu sendiri."

"Bagi agensi Kerajaan, mereka dapat memperbaiki sistem yang ada serta dapat mendengar keluhan rakyat dengan lebih berkesan. Sementara bagi rakyat pula, mereka akan mendapat maklumat yang lebih jelas dan dapat menggunakan saluran yang betul bagi menguruskan harta pusaka, penulisan wasiat, pembukaan akaun amanah dan juga hibah. Ini secara tidak langsung, memberi nilai tambah kepada kedua-dua pihak. Apa lagi dengan bayaran perkhidmatan yang jauh lebih murah berbanding agensi swasta," katanya lagi. - Sarawakiana
Pupuk Kesedaran Kepentingan Perancangan Pewarisan Pupuk Kesedaran Kepentingan Perancangan Pewarisan Reviewed by Salfian Nawawi on July 03, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.