Malaysia bercadang mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi, dalam usaha terbaharu mengekang pengaruh Kumpulan Negara Islam (IS) yang menggunakan laman sosial untuk mengrekrut ahli baru serta menyebar ideologi di serata dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengemukakan cadangan itu pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau yang dipengerusikan Presiden Barack Obama, berkata Malaysia sedang menerokai secara aktif kemungkinan mewujudkan pusat seumpama itu.
"Fokus untuk memerangi kehadiran IS secara naratif dan atas talian, diperlukan. Asia Tenggara kini kekurangan program menyeluruh untuk melakukannya, jadi kita mesti menanganinya dan usaha sedang dibuat," kata Perdana Menteri yang juga selaku Pengerusi ASEAN di New York, sebentar tadi.
IS adalah kumpulan militan radikal yang beroperasi di Iraq dan Syria. Asal IS adalah Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Iraq atau ISIS di Syria.
Antara kaedah digunakan untuk menyebar ideologi serta mengrekrut ahli adalah melalui Facebook dan Twitter.
Najib percaya dengan sokongan dan penyertaan yang perlu, langkah itu boleh menjadi benteng penting di barisan hadapan dalam usaha meluas serantau untuk menguatkan gerakan anti-pemesejan IS.
Beliau berkata, rantau Asia Tenggara tidak terkecuali daripada ancaman militan tetapi di Malaysia, bernasib baik kerana tidak berdepan keganasan besar.
Namun katanya, usaha memerangi keganasan berterusan dalam cubaan untuk mengenal pasti kumpulan pelampau yang berhasrat berkunjung ke Asia Barat melalui Malaysia, dan menghalang beberapa orang daripada merosakkan kehidupan mereka dan nyawa orang lain.
Najib berkata, mereka juga berjaya memberkas lebih 100 suspek yang mempunyai kaitan dengan IS dan ada antaranya berhasrat mengebom Malaysia dan sudah tentu kerajaan tidak membiarkannya.
"Kejayaan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama rapat di peringkat antarabangsa dan kita akan terus memperluaskan kerjasama dengan negara lain yang mempunyai pendirian sama, berkongsi risikan, bekerja dengan tentera yang berkaitan, polis dan sekuriti siber untuk menangani ancaman bahaya ini," katanya.
Beliau berkata, Malaysia bersama negara lain menghargai tindakan Obama mengetuai kempen antarabangsa untuk memerangi dan seterusnya menghapuskan IS.
"Kita mesti memberi pilihan jelas kepada mereka dalam IS. Tinggalkan pegangan kebencian jahat anda, ganas dan melampau, dan kembali ke pangkalan jalan atau berdepan akibatnya, " katanya. - BH
Malaysia Cadang Wujud Pusat Serantau Digital Kekang IS
Reviewed by Unknown
on
September 30, 2015
Rating:
No comments: