Seo Services

Atasi Isu Persempadanan Malaysia-Indonesia Menerusi Sosiobudaya - Rais


KOTA KINABALU: Isu persempadanan Malaysia-Indonesia harus diatasi menerusi penerapan nilai sosiobudaya bagi memastikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara mampu dikekalkan dalam suasana keharmonian hakiki, kata Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim.

Menyedari sempadan antara Malaysia-Indonesia cukup luas, Rais berkata keadaan itu mempengaruhi beberapa isu kenegaraan antara lain berhubung undang-undang perairan, keselamatan, perdagangan haram, penyeludupan dadah, aktiviti pemerdagangan manusia dan masalah tenaga kerja.

Atas dasar itu, Rais yang juga Pengasas Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) berkata kedua-dua negara dilihat perlu lebih proaktif mendekati semua isu persempadanan dan kenegaraan dengan perasaan persaudaraan dan kekitaan agar ia mampu ditangani secara diplomasi serta menyeluruh.

"Soal persempadanan ini harus ditangani secara praktikal agar bermanfaat kepada kedua-dua pihak pada masa akan datang," katanya ketika berucap merasmikan Diolog Perbatasan anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Ismawi) di sini, Isnin malam.

Bertemakan 'Mengharmonikan Masyarakat Perbatasan', dialog dua hari itu disertai wartawan Malaysia dan Indonesia antara lain bertujuan meningkatkan hubungan dan persefahaman antara wartawan dari kedua-dua negara.

Turut hadir Presiden Ismawi Datuk Zulkefli Salleh, yang juga Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Direktur Utama ANTARA Saiful Hadi dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai.

Mengulas lanjut, Rais berkata pembentukan Komuniti ASEAN berteraskan tiga prinsip utama iaitu ekonomi, keselamatan dan budaya menuntut betapa pentingnya isu persempadanan Malaysia-Indonesia didekati dengan perasaan persaudaraan.

Tambahan pula, menurut beliau hubungan Malaysia-Indonesia ini dilihat sebagai tabung uji kepada negara anggota ASEAN lain termasuk Thailand, Vietnam, Singapura dan Brunei, dalam usaha kedua-dua negera terbabit menguruskan permasalahan serta isu sempadan.

Sehubungan itu, Rais berkata Malaysia-Indonesia perlu membuktikan bahawa mereka mampu menguruskan isu persempadanan dengan cemerlang agar boleh menjadi model pengurusan sempadan di negara ASEAN lain.

Rais juga berkata perlu bagi kedua-dua negara untuk sentiasa menjaga hal berkaitan undang-undang perairan dan kepentingan kenegaraan termasuk menghormati undang-udang domestik seperti imigresen, import dan eksport serta hal berkaitan pertahanan bagi mencapai persefahaman jitu.

Rais juga melihat pentingnya pemimpin di kedua-dua negara meneruskan perbincangan sekali gus menentukan skop bagi memastikan tidak berlaku sebarang ekstremisme di sempadan Malaysia-Indonesia sama ada di air mahupun di darat yang boleh menggugat keharmonian antara kedua-dua negara.

Mengenai dialog, Rais menyifatkan ia sebagai dialog serumpun, budaya dan kepentingan bersama bagi membincangkan isu berbangkit sekali gus mencari pendekatan terbaik mengatasi masalah yang wujud di sempadan kedua-dua negara termasuk masyarakat yang masih 'mundar-mandir' keluar masuk menyeberangi sempadan.

Sementara itu, Zulkefli ketika berucap berkata kehadiran wartawan dalam dialog tersebut akan mampu memupuk perkenalan dan persefahaman bagi membuahkan kerjasama erat pada masa hadapan.

Ini kerana pengamal media Malaysia dan Indonesia mempunyai peranan penting dalam usaha mengharmonikan hubungan dua hala kedua-dua negara memandangkan kedudukan geografi berdekatan boleh mencetuskan pelbagai keadaan, katanya.

"Walaupun kita serumpun, tetapi dalam kita berurusan, kita harus menghormati Malaysia-Indonesia sebagai dua negara berdaulat, masih ada batas dan tatacara berdiplomasi perlu diamalkan dan tidak boleh diambil mudah," katanya. - BERNAMA
Atasi Isu Persempadanan Malaysia-Indonesia Menerusi Sosiobudaya - Rais Atasi Isu Persempadanan Malaysia-Indonesia Menerusi Sosiobudaya - Rais Reviewed by uMieySurianie on October 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.