JAKARTA : Indonesia yakin isu berkaitan persempadanan wilayah antara republik itu dengan Malaysia dapat diselesaikan menerusi rundingan sahaja.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata rundingan adalah kaedah terbaik bagi kedua-dua buah negara untuk mengelakkan sebarang konflik mengenai sempadan, dan tuntutan ke Mahkamah Antarabangsa sepatutnya adalah pilihan terakhir.
"Apa yang berlaku sebenarnya hanyalah perbezaan cara hitungan (ukuran) penetapan perbatasan walaupun telah terdapat standard internasional (antarabangsa) mengenainya.
"Namun dengan Malaysia semuanya dapat diselesaikan dengan perundingan walaupun (tempoh) perundingan itu lama," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama di pejabatnya di sini.
Katanya jika sudah tiada pilihan, maka barulah perkara itu dibawa ke Mahkamah Antarabangsa dan Indonesia telah mempunyai pengalaman mengenainya, seperti tuntutan wilayah di Pulau Sipadan dan Ligitan yang akhirnya diiktiraf sebagai milik Malaysia.
"Memang ada masalah (tuntutan wilayah)...semua bisa (boleh) diselesaikan. Kalau kita tidak bisa berunding, kita berunding (lagi) bertahun-tahun dan kalau tidak bisa, dapat dibawa ke mahkamah seperti Sipadan dan Ligitan, dan Indonesia menghormati keputusan Mahkamah Antarabangsa itu," katanya.
Jusuf berkata antara faktor lain yang menyebabkan berlaku tuntutan wilayah adalah sejarah dan masalah rakyat.
Katanya dari aspek sejarah dan budaya, rakyat Malaysia dan Indonesia adalah serumpun kerana pada zaman dahulu, tidak ada sempadan antara kedua-dua buah negara dan rakyatnya bebas berhijrah.
Setelah wujudnya dua buah negara yang berdaulat, berlakulah tuntutan sempadan, katanya lagi.
Beliau berkata sempadan wilayah sebenarnya adalah isu teknikal sahaja sedangkan rakyat kedua-dua buah negara masih berkongsi budaya dan bahasa yang sama.
"Kita serumpun, masyarakat Malaysia banyak berasal dari rumpun Indonesia dan waktu itu belum ada negara, jadi bebas ke mana-mana. Ada (rakyat Malaysia) yang berasal dari Bugis seperti Pak Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) ada dari Jawa, (begitu juga) ada orang Melayu yang ke Sumatera," kata beliau.
Naib Presiden itu berkata fakta sejarah membuktikan walaupun pernah berlaku konflik Malaysia-Indonesia pada tahun 60-an, ia berakhir dengan perundingan yang baik dan kedua-dua buah negara dapat bekerjasama dengan baik dalam bidang politik, ekonomi dan perdagangan.
Katanya hubungan Malaysia dan Indonesia sebenarnya saling menghargai dan menghormati satu sama lain malah saling membantu dalam bidang pelaburan.
Persempadanan Malaysia-Indonesia sering mendapat perhatian media Indonesia terutamanya kawasan perairan yang dikenali sebagai Ambalat iaitu sebuah blok perairan antara Sulawesi, Indonesia; dan Sabah, Malaysia.
Tuntutan bertindih perairan itu timbul sejak tahun 2002 kerana perbezaan peta wilayah sempadan yang digunakan oleh kedua-dua buah negara.
Kawasan perairan itu kini dikawal oleh pasukan keselamatan kedua-dua buah negara dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian masih berterusan.
-- BERNAMA
Indonesia Yakin Isu Sempadan Dengan Malaysia Diselesaikan Secara Rundingan
Reviewed by Unknown
on
October 30, 2015
Rating:
No comments: