Seo Services

Pekan Lachau 'Syurga' Penggemar Ikan


SRI AMAN: Penggemar ikan terutamanya ikan salai dan ikan semah lazimnya akan tertumpu ke pekan Lachau, Kuching, yang amat popular di kalangan pelancong tempatan serta asing sebagai 'syurga' sumber alam itu.

Ikan-ikan salai mudah diperoleh di pasar harian Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di pekan berkenaan memandangkan hampir kesemua 40 gerai yang beroperasi menjual ikan salai, ikan masin, pekasam dan pelbagai jenis ikan segar.

Ikan salai atau pekasam yang paling mendapat sambutan ialah ikan semah dan lajong dengan harga mencecah RM60 sekilogram.

Jika kena pada musimnya, pelawat boleh membeli ikan sungai yang segar dan besar selain udang pada harga lebih murah.

Selain ikan, ada juga penjaja menjual hasil hutan, sayur-sayuran, kuih-muih, beras mamut atau beras wangi berwarna hitam yang kaya dengan khasiat kesihatan.

Menurut Widayanti Imang, 37, ikan-ikan yang disalai atau dijadikan pekasam kebanyakannya diperoleh dari Batang Ai di daerah Lubuk Antu selain ditangkap di Sungai Pantu.

Kehadiran pelawat singgah di pekan ini yang terletak di tengah-tengah perjalanan dari Kuching ke Sri Aman mahupun Batang Ai memberi kelebihan kepada para peniaga menjual produk mereka serta berpeluang menambah pendapatan.

Menurutnya dalam sehari, penjaja di pekan itu mampu memperoleh hasil jualan melebihi RM100 dan antara RM200 hingga RM300 pada hari Ahad.

"Terdapat ramai pengunjung yang singgah dan membeli barangan jualan kami di pasar ini pada hari Ahad berbanding hari-hari biasa," katanya ketika ditemui Bernama.

"Memandangkan pekan ini terletak hampir dengan jalan utama, jadi lebih mudah untuk pelancong singgah berehat, makan dan minum sebelum meneruskan perjalanan lebih 80 kilometer menuju ke Batang Ai," katanya.

Selain pelancong, Pekan Lachau yang terletak kira-kira 140km dari Kuching juga menjadi tumpuan penduduk sekitar, sekali gus memeriahkan suasana di pekan itu.

-- BERNAMA

Pekan Lachau 'Syurga' Penggemar Ikan Pekan Lachau 'Syurga' Penggemar Ikan Reviewed by Unknown on October 14, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.