BINTULU: Tiga suspek ditahan dan lima senapang patah buatan sendiri dirampas dalam serbuan ke atas beberapa pondok dan rumah panjang oleh sepasukan polis D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sebuah ladang kelapa sawit Sungai Kelabat di sini, sekitar jam 5.30 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan itu berumur 40 hingga 55 tahun dan serbuan itu diketuai Inspektor Kalang Buda.
Beliau berkata, antara barang lain dirampas ialah peralatan diguna untuk menghasilkan senapang patah dan komponennya.
“Kejayaan operasi ini hasil pengawasan selama dua minggu yang dijalankan ke atas sasaran oleh pasukan D9,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Katanya, polis percaya lebih banyak senapang patah telah dihasilkan sebelum ini dan dijual kepada pembeli untuk tujuan pemburuan.
Kumar menjelaskan, peringkat seterusnya operasi ialah mendapatkan semula senapang patah yang telah dilupuskan sebelum ini.
“Pihak polis menasihati orang awam membeli senapang patah haram buatan sendiri itu untuk menyerahkannya kepada balai polis terdekat,” katanya.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Inspektor Kalang dan pasukan D9 atas kejayaan rampasan itu,” katanya.
Jelasnya, JSJ negeri akan menjalankan lebih banyak serbuan dan rampasan senapang patah haram berikutan peningkatan jumlah kes tembakan secara tidak sengaja semasa pemburuan sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan serius tahun ini.-UB
Tiga Ditahan, Lima Senapang Patah Dirampas
Reviewed by Unknown
on
October 30, 2015
Rating:
No comments: