gambar hiasan |
SIBU: Seorang tuai rumah warga emas dari sebuah rumah panjang di Kapit kerugian lebih RM4,000 selepas ditipu tiga lelaki mengguna modus operandi tiket loteri enam digit (6D) berjumlah RM100,000 sebagai umpan.
Menurut adik iparnya yang enggan dikenali, mangsa berhajat menukar kanta cermin mata, datang dari Kapit menaiki bot ekspres ke Sibu pagi Ahad lalu.
Setiba di sini, mangsa terserempak tiga lelaki yang memintanya untuk membantu salah seorang rakan mereka warganegara Indonesia kononnya baru sahaja memenangi tiket loteri 6D tetapi tidak dapat menuntut hadiah tersebut.
Menurut cerita abang iparnya, dia ditepuk salah seorang daripada mereka sebelum dia dijemput masuk ke dalam kereta dan dibawa menuju ke sebuah bank di Jalan Kpg. Nyabor di sini.
“Abang ipar saya seolah-olah dipukau apabila mengikut apa sahaja yang disuruh suspek termasuk menyuruh mangsa mengeluarkan wang tunai, kad ATM dan melucutkan cincin emas dipakainya,” katanya.
Difahamkan, mangsa hanya menunggu di dalam kereta sementara menunggu ketiga-tiganya masuk ke dalam bank kononnya untuk mengurus perpindahan wang ke dalam akaunnya.
Setelah suspek masuk kembali ke dalam kereta, mereka memberitahu mangsa supaya memeriksa akaunnya di bank apabila dia pulang ke Kapit pada hari sama.
Mangsa kemudian dihantar ke Dermaga Bot Ekspres sekitar jam 1.30 petang sebelum bertolak ke Kapit pada pada jam 1.45 petang.
Menurut isteri mangsa yang turut mengiringinya ke Balai Polis Sentral tengah hari semalam memberitahu, suaminya hanya tersedar daripada lamunannya apabila dikejut seorang anak saudara duduk bersebelahan dengannya dalam bot ekspres.
“Setelah menceritakan bahawa dia berjumpa dengan tiga lelaki meminta bantuan menuntut hadiah tiket loteri 6D, anak saudaranya terus menepuk bahu mangsa kerana tahu dia telah ditipu,” katanya.
Katanya, wang simpanan berjumlah lebih RM3,000 hingga RM3,500 di dalam dua akaun bank suami telah dikebas oleh suspek.
“Apabila sampai di Kapit, suami saya terus pergi ke bank untuk memeriksa baki kedua-dua akaunnya dan mendapati wangnya telah dikeluarkan.
“Malah dia juga kehilangan sebentuk cincin emas yang dibelinya dengan harga RM900 satu ketika dahulu,” katanya sedih.
Katanya, mangsa bukan sahaja ditipu malah hajat menukar kanta cermin matanya turut tidak kesampaian.
Dalam insiden berasingan, seorang perempuan warga emas, 70, juga mengalami nasib sama setelah ditipu lebih RM6,000 oleh sekumpulan dua lelaki dan dua perempuan yang dipercayai menyamar sebagai pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menurut sumber, sekitar jam 11.30 pagi, mangsa telah berjumpa dengan salah seorang suspek di kawasan bandar dan bertanya sama ada dia ada menerima bantuan kewangan KEMAS berjumlah RM1000.
Apabila mangsa menjawab tidak pernah, suspek menawarkan diri mampu membantu untuk menguruskan permohonannya.
Mangsa kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah kereta dan tiga rakan suspek berada di dalamnya sebelum pergi ke sebuah lokasi kononnya pejabat mereka.
Bagaimanapun, mangsa tidak keluar daripada kereta apabila dibawa ke pejabat terletak di kawasan Wisma Sanyan.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah kedai gambar di kawasan Sungai Merah mengambil gambar tetapi tidak dibenarkan untuk membawa beg tangannya masuk ke dalam kedai.
Ketika suspek mengambil gambar, salah seorang perempuan mengikut mereka keluar daripada kedai tersebut.
Perempuan berkenaan masuk ke dalam kereta dan terus beredar dari situ dengan beg tangannya yang mengandungi wang dan barang kemasnya sebelum melarikan diri.
Menurut mangsa, kad pengenalan, wang tunai sejumlah RM860, seutas gelang, seutas rantai emas bernilai lebih RM3,000, tiga bentuk cincin, tiga bentuk anting-anting dan seutas loket emas selain buku bank juga dilarikan kumpulan penipu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP, Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima kedua-dua laporan kes.
“Kedua-dua kes kini sedang disiasat oleh pasukan polis dari Bahagian Jenayah Komersil Sibu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan penjenayah sedang giat dijalankan,” tambahnya.-UB
Tuai Rumah Rugi RM4,000 Tertipu Tiket Loteri Palsu
Reviewed by Unknown
on
October 30, 2015
Rating:
No comments: