Seo Services

Daerah Lawas Hampir ’Lumpuh’


LAWAS: Daerah Lawas hampir lumpuh akibat hujan lebat bermula jam 2.00 hingga 4.30 petang semalam yang menyaksikan kawasan rendah terus dinaiki air.

Pegawai Daerah Lawas, Husaini Hakim yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah memaklumkan bahawa hujan turut melebihi kapasiti sistem perparitan sedia ada menyebabkan air melimpah dan banjir.

Pada masa yang sama kejadian air pasang besar turut menyumbang kepada berlakunya banjir yang menjejaskan kawasan dari Trusan hingga ke bandar Lawas.

Semua agensi kerajaan bertanggungjawab telah diarah untuk ’turun padang’ bagi membantu penduduk yang terkejut dengan paras air yang naik begitu cepat.

Kampung Air Terjun, kawasan Perumahan Polis, Kampung Batu Tiga merupakan kawasan yang terjejas agak teruk akibat banjir di sepanjang Jalan Trusan.

Manakala Perumahan Persekutuan, Pejabat Pendidikan Daerah dan kawasan Taman Lawas Garden di bandar juga terjejas akibat hujan lebat sejak tengah hari semalam. Deretan kenderaan dari Siang-siang hingga ke bandar Lawas bergerak perlahan dan tersekat akibat air banjir menenggelamkan Jalan Pan Borneo di Jalan Trusan hingga ke Lawas.

Jalan di Kampung Air Terjun, Jalan Kampung Batu Tiga ditengelami air yang hanya boleh dilalui kenderaan berat. 

Bandar Lawas pula menyaksikan laluan masuk ke bandar paling teruk terjejas akibat banjir dan pasang besar yang berlaku serentak. 

"Kita telah mendapat bantuan daripada pihak JPAM Lawas yang baharu ditubuh selain agensi seperti Polis DiRaja Malaysia, Bomba dan Penyelamat serta anggota RELA telah berada di setiap lokasi terjejas

Pihak kita juga telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk turun memantau keadaan bagi menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan yang telah dikenal pasti tanpa terlalu terikat dengan protokol," ujarnya.

Sementara itu Daerah Kecil Sundar juga mula dinaiki air semalam dan menurut Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sundar, Ladin Atok semua jentera yang terdiri daripada semua ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah pun digerakkan untuk menghulur bantuan selain memantau keadaan semasa.

Bilik gerakan di Pejabat Daerah Kecil Sundar juga telah diaktifkan bermula semalam untuk menyelaras semua usaha bagi membantu mangsa jika keadaan bertambah buruk.

Selain itu, keadaan di Merapok yang juga kawasan mudah terjejas banjir turut dipantau oleh jawatankuasa bencana sebelum berlaku insiden yang tidak diingini.

Pihak Bahagian Bekalan Air Jabatan Kerja Raya turut memaklumkan mengenai tindakan catuan ke atas bekalan air paip berikutan keadaan loji di bekalan air Trusan yang semakin dinaiki air.

Bekalan air akan ditutup sekiranya paras air mencecah suis bekalan tenaga elektrik di logi berkenaan bagi mengelak kerosakan lebih serius.

Namun bekalan akan disambung semula jika paras air mula turun ke paras selamat.

Hasil tinjauan mendapati pasukan PDRM mula mengawal lalu lintas di Jalan Trusan dan laluan masuk ke bandar Lawas akibat sikap pemandu yang tidak sabar untuk sampai ke destinasi masing-masing.

Pasukan Bomba dan Penyelamat serta rakan daripada agensi lain turut bersama bergerak ke setiap lokasi yang memerlukan bantuan mereka.

Dalam pada itu, Husaini yakin melalui semangat kerjasama dan bersatu akan memudahkan mereka untuk berhadapan dengan segala bentuk cabaran kerana semua bergerak dalam satu pasukan besar. - Utusan Sarawak
Daerah Lawas Hampir ’Lumpuh’ Daerah Lawas Hampir ’Lumpuh’ Reviewed by uMieySurianie on November 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.