Seo Services

GPS Akan Dibekalkan Kepada Nelayan Perikanan Laut Dalam Di Sarawak


BAU: Nelayan di Sarawak terutama mereka yang menjalankan kegiatan perikanan laut dalam di kawasan perairan antarabangsa akan dibekalkan peralatan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Nogeh Gumbek, berkata langkah itu bagi membantu mereka mengetahui kedudukan sebenar bot digunakan, sekali gus mengelak tersasar ke kawasan perairan negara jiran sehingga dianggap menceroboh seperti yang sering berlaku sebelum ini.

"Di peringkat awal ini, kita akan membekalkan 40 unit GPS kepada nelayan tradisional di Parlimen Mas Gading, Bau sebelum diperluaskan ke kawasan lain. Sejumlah RM80,000 diperuntukkan kerajaan bagi penyediaan peralatan itu yang akan membantu navigasi nelayan ketika di laut.

"Ini bukan sahaja memudahkan nelayan menetapkan lokasi tangkapan ikan, namun yang lebih penting membantu mengelak mereka memasuki kawasan larangan dan tersasar ke perairan negara jiran.

"Beberapa bulan lalu, sebuah bot nelayan kita karam selepas berlanggar dengan kapal peronda Indonesia, manakala nelayan kita pula ditahan pihak berkuasa negara jiran," katanya ketika merasmikan Karnival Mas Gading@Bau, di sini, hari ini.

Pada 11 September lalu, sebuah bot nelayan Sarawak karam di perairan Indonesia selepas berlanggar dengan kapal peronda Polis Air (POLAIR) negara itu.

Dalam kejadian itu, empat nelayan kemudiannya ditahan, seterusnya dibawa ke Pontianak, Kalimantan, manakala tiga lagi rakan mereka belum ditemui hingga kini. Nogeh ketika mengulas lanjut, berkata pengagihan peralatan canggih itu antara komitmen kementeriannya bagi membantu nelayan dalam usaha meningkatkan lagi pendaratan hasil laut tempatan.

Sementara itu, mengenai Karnival Mas Gading@Bau, Nogeh berkata, ia adalah sebagai permulaan sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2015 yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kota Samarahan, hujung bulan ini. -BH-
GPS Akan Dibekalkan Kepada Nelayan Perikanan Laut Dalam Di Sarawak GPS Akan Dibekalkan Kepada Nelayan Perikanan Laut Dalam Di Sarawak Reviewed by Unknown on November 15, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.