Seo Services

Kekang Penganiayaan Terhadap Wanita - Rohani


KUCHING: Penganjuran Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 disifatkan sebagai medium terbaik dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai kepentingan usaha melindungi hak golongan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim, berkata inisiatif itu diyakini berupaya mengekang sebarang bentuk penganiayaan terhadap wanita dari terus berleluasa, termasuk kes keganasan rumah tangga.

"Tarikh 25 November setiap tahun diisytiharkan sebagai Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita, malah kita juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam sambutan itu, dengan pelbagai program berkaitan dianjurkan.

"Ia juga sebagai platform bagi golongan wanita berkongsi pengalaman dan pengetahuan ketika menghadapi sebarang situasi getir, termasuk merancang tindakan sepatutnya untuk melindungi diri masing-masing dari menjadi mangsa keganasan," katanya kepada BH, di sini.

Beliau menjelaskan adalah penting bagi golongan wanita mengetahui hak mereka apabila menjadi mangsa penganiayaan, terutama kes keganasan rumah tangga untuk memastikan mereka sentiasa dilindungi.

"Jangan sesekali bertindak mengikut perasaan, malah perlu bijak mengawal emosi bagi kerana banyak saluran boleh digunakan bagi melindungi golongan wanita dari terus menjadi mangsa penganiayaan dan keganasan.

"Justeru, kita mahu penganjuran program dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran agar dapat membantu mencecag mereka dari terus menjadi mangsa, termasuk dalam pelbagai kes jenayah seperti rogol, pemerdagangan manusia, `keldai dadah' dan dieksploitasi oleh sindiket penipuan," katanya.

Dengan adanya pengetahuan luas itu, golongan wanita tidak mudah terpedaya dengan rentak kehidupan masa kini yang penuh dengan cabaran, selain mendedahkan mereka terhadap risiko penganiayaan, termasuk kes jenayah.

Bertemakan 'Orange Your Day!', Rohani berkata, warna oren dipilih sebagai warna tema sambutan kali ini seiring dengan keputusan dipersetujui di peringkat antarabangsa, terutama oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

"Ini bagi menyahut Kempen Bersatu Mengakhiri Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak yang dianjurkan PBB di seluruh dunia," katanya.

Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015 dijadualkan berlangsung di IOI City Mall (East Wing), Putrajaya bermula jam 10 pagi esok, dengan pelbagai acara menarik disediakan pihak penganjur.

Rohani berkata, pihaknya mensasarkan kehadiran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan jemputan adalah golongan lelaki bagi menyampaikan maksud sebenar penganjuran itu bahawa golongan wanita harus dihormati, disayangi, dikasihi dan dilindungi.

"Kita berharap orang ramai yang menghadiri sambutan ini nanti mengenakan pakaian berwarna oren sebagai bukti sokongan terhadap usaha memerangi keganasan terhadap golongan wanita," katanya.

Selain Komuniti PERWANI 1Malaysia, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan wanita, dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari sekitar ibu negara, Putrajaya, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan dijangka turut menyertai sambutan kali ini.

Pelbagai program pengisian turut dirancangkan bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2015, termasuk Aktif Cergas, Lukisan 'Doodle' dan Program White Ribbons, selain acara kemuncak iaitu pembacaan ikrar Rayuan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita dalam kalangan tetamu jemputan lelaki. - BH

Kekang Penganiayaan Terhadap Wanita - Rohani Kekang Penganiayaan Terhadap Wanita - Rohani Reviewed by uMieySurianie on November 24, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.