BUKIT MERTAJAM: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang bakal menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak bagi menangani sindiket penjualan barangan tiruan di internet.
Pengarahnya, Mohd Nawardi Saad, berkata kerjasama itu akan membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi berkaitan.
Beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat pemantauan bagi mengenalpasti pihak yang terbabit dengan aktiviti haram itu di sekitar negeri ini.
Selain itu, katanya, pemantauan dan proses mengenalpasti identiti penjual serta lokasi penjualan barang tiruan melalui internet akan mengambil masa, sebelum tindakan boleh diambil.
"Kami akan bekerjasama dengan SKMM dan PDRM supaya masalah ini dapat diatasi secepat mungkin," katanya kepada pemberita sebelum majlis pelupusan barang kes di sini, sebentar tadi.
Pada masa sama, Mohd Nawardi berkata, sehingga 6 November tahun ini, pejabat KPDNKK Pulau Pinang berjaya melupuskan barang kes bernilai RM1.8 juta membabitkan 81 kes di negeri ini.
Katanya, kebanyakan kes itu membabitkan siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Perihal Dagangan 2011.
"Antara barangan dilupuskan termasuklah set komputer; 75,000 keping DVD, CD, VCD dan barangan tiruan lain. Pelupusan barang kes hari ini adalah kali pertama dilakukan sepanjang pada tahun ini.
"Rampasan terbesar tahun ini adalah aktiviti cetak rompak yang bernilai lebih RM750,000 dan KPDNKK akan bertindak dengan lebih agresif supaya masalah ini dapat diminimakan.
"Proses ini hanya dilakukan selepas mendapat arahan mahkamah, selain program membendung aktiviti cetak rompak ini akan dijalankan secara berterusan dan tumpuan lebih kepada premis fizikal yang dijadikan stor atau kedai penjualan," katanya. - BH
KPDNKK Jalin Kerjasama Tangani Jualan Barang Tiruan Di Internet
Reviewed by uMieySurianie
on
November 09, 2015
Rating:
No comments: