KUCHING: Pemimpin luar digesa meluaskan lagi perspektif dalam melihat proses pembangunan di Sarawak, agar dapat memberi sumbangan yang sepatutnya kepada rakyat dan tidak hanya jadi mengkritik.
“Jika Sim Tze Tzin mampu meluaskan lagi perspektif dalam melihat proses pembangunan di Sarawak, beliau mungkin boleh memahami serta memberi sumbangan sebagai seorang ahli Yang Berhormat.” Kata Ketua Penerangan Pemuda PBB, Fazruddin Abdul Rahman.
“Saya ingin menggesa Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat YB Sim Tze Tzin agar meluaskan lagi perspektif.” tambah Fazruddin dalam satu kenyataan yang dimuat naik akaun Facebook beliau.
Fazruddin berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Sim yang mengkritik prestasi Menteri-menteri dari Sarawak dengan mengaitkan dan mengambil contoh bajet penyelenggaraan jalan bagi Sabah dan Sarawak menurun dari 2014 hingga ke 2016.
Sim Tze Tzin dalam satu sidang media pada sabtu dengan sinis mempersoal tentang bajet penyelenggaraan jalan bagi Sabah dan Sarawak yang didakwanya menurun dari 2014 hingga 2016, sambil membayangkan keadaan jalan raya di Sarawak menjadi paling teruk seluruh negara menjelang tahun hadapan.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata “Ironinya Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin masing-masing merupakan wakil rakyat dari Sarawak dan Sabah”.
Fazruddin yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya menjelaskan peruntukan penyelenggaraan jalan di Sarawak pada 2014 adalah 404 juta, dan ini termasuk membina lorong-lorong memotong sepanjang jalan tersebut.
Beliau menambah Jalan yang diselenggara pada 2014 adalah sepanjang 1540.73 kilometer.
“Manakala peruntukan pada 2015, ialah 160 juta kerana kebanyakan jalan telah pun dinaiktaraf kepada 4 lorong dan projek Pan Borneo telah pun bermula.
“Pada 2016, peruntukan hanya 100 juta kerana beberapa pakej projek Pan Borneo akan bermula secara berperingkat sepanjang 2016 dan ini menjadikan jalan yang tinggal untuk diselenggara hanyalah 794.57km.” katanya
“Rakyat Sarawak amat berbangga kerana bakal menikmati jalan Pan Borneo yang setanding dengan lebuhraya utara selatan di semenanjung.
“Ini adalah sumbangan YAB PM dan hasil kerja keras YAB Ketua Menteri kita dan disambut pula oleh YB Menteri Kerja Raya.” ujarnya. - Sarawakiana
Luaskan Perspektif Untuk Melihat Proses Pembangunan di Sarawak - Fazruddin
Reviewed by Admin
on
November 23, 2015
Rating:
No comments: