Seo Services

Pejabat Menteri Kesihatan Dapat Serbuk Misteri


PUTRAJAYA – Kakitangan pejabat Menteri Kesihatan di sini pada Jumaat gempar dan bertindak mengosongkan tingkat 13 yang menempatkan pejabat mereka apabila menerima bungkusan mengandungi serbuk putih disyaki berbahaya.

Bingkisan dalam bentuk sampul PosLaju bersaiz A4 itu diterima dua kakitangan wanita di pejabat menteri itu pada kira-kira 3.15 petang dan mereka menemui serbuk putih serta mengalami kegatalan setelah membuka bungkusan tersebut.

Ekoran itu, staf Kementerian Kesihatan menghubungi bomba dan polis bagi memaklumkan penemuan serbuk tersebut, dan kakitangan pejabat menteri berhimpun di perkarangan kawasan blok E7 untuk membolehkan pemeriksaan dilakukan.

Sampul berkenaan yang diletakkan di dalam plastik lutsinar dilihat dibawa keluar dari bangunan berkenaan oleh anggota bomba pada kira-kira 4.30 petang.

Turut berada di tempat kejadian ialah polis dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT).

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia, Zulkarnain Mohd. Kassim berkata, bomba yang menerima panggilan bergegas ke tempat kejadian pada 3.25 petang serta mengarahkan pengosongan tingkat tersebut selain mematikan penghawa dingin.

Menurutnya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sedang bermesyuarat di tingkat lain dalam bangunan sama ketika kejadian itu.

Zulkarnain juga mengisytiharkan tingkat 13 itu kini selamat dan kakitangan dibenarkan kembali ke pejabat.

Beliau berkata dua kakitangan itu sudah ‘decontaminated’ (proses nyah cemar) dan mereka dinasihatkan mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sekiranya masih mengalami kegatalan.

Beliau berkata bungkusan itu dihantar ke Makmal Penyelidikan Bomba di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan untuk pengesahan dan keputusan dijangka diketahui pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, polis juga masih menyiasat kes berkenaan.

“Kami sedang siasat dan motif belum dapat dipastikan,” katanya. Siasatan awal ujarnya, mendapati serbuk putih itu negatif anthrax.

Sementara itu, Dr. Subramaniam yang ditemui pemberita di perkarangan Kompleks E7 berkata “tiada apa-apa yang menarik berlaku di sini” sambil memasuki kenderaan rasmi. – BERNAMA
Pejabat Menteri Kesihatan Dapat Serbuk Misteri Pejabat Menteri Kesihatan Dapat Serbuk Misteri Reviewed by Unknown on November 13, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.