Seo Services

Pengurusan Cukai Pegangan LHDN Tidak Patuh Kepada Prosedur Kerja


KUALA LUMPUR: Pengurusan cukai pegangan di Unit Cukai Pegangan dalam pelaksanaan aktiviti audit luar dan audit meja Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) didapati tidak patuh kepada prosedur kerja iaitu tiada surat kelulusan bayaran ansuran dikeluarkan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri Tiga, bagi tempoh tahun 2012 hingga Jun 2014, surat tersebut tidak dikeluarkan kepada sembilan (10.1 peratus) daripada 89 pembayar yang melibatkan bayaran cukai pegangan berjumlah RM1.47 juta.

Kelemahan lain ialah Manual Prosedur Kerja (MPK) tidak disediakan dan norma masa tidak ditetapkan bagi tujuan rujukan dan pemantauan prestasi pegawai audit luar dan audit meja.

"Ini menyebabkan pegawai audit luar mengambil masa antara 190 hari hingga 2,284 hari untuk menyelesaikan kes berjumlah RM7.03 juta dan pegawai audit meja pula mengambil masa antara 34 hari hingga 3,617 hari untuk mengeluarkan Borang Pemberitahuan Kenaikan (CP17A) dari tarikh kenaikan cukai berjumlah RM1.77 juta di lejar Sistem Taksir Sendiri Syarikat (STSC)," menurut laporan tersebut.

Semakan Audit turut mendapati mekanisme pengesanan kehadiran individu bukan pemastautin yang layak dikenakan cukai pegangan kurang efektif dan kesedaran agensi kerajaan terhadap kewajipan pengenaan cukai pegangan masih pada tahap rendah.

Bagi meningkatkan lagi tahap pengurusan terhadap cukai pegangan, LHDN disyorkan supaya memastikan prosedur kerja dipatuhi dengan mempertingkatkan pemeriksaan dalaman dan penyeliaan ke atas aktiviti audit luar dan audit meja selain tindakan segera diambil terhadap isu ketidakpatuhan yang dibangkitkan agar isu sama tidak berulang.

Laporan itu turut mengesyorkan menyediakan MPK Unit Cukai Pegangan dan memastikan norma masa ditetapkan supaya proses kerja aktiviti audit luar dan audit meja dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan prestasi pegawai dapat dipantau.

Selain itu, disyorkan mengintegrasikan antara sistem LHDN dan sistem Jabatan Imigresen bagi membolehkan Unit Cukai Pegangan mengesan dengan lebih efektif kehadiran bukan pemastautin yang layak dikenakan cukai.

-- BERNAMA
Pengurusan Cukai Pegangan LHDN Tidak Patuh Kepada Prosedur Kerja Pengurusan Cukai Pegangan LHDN Tidak Patuh Kepada Prosedur Kerja Reviewed by Unknown on November 24, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.