Tentu ramai yang pernah sampai dan mengenali beberapa lokasi percutian tanah tinggi seperti Cameron Highland, Genting Highland, Fraser Hill dan Bukit Tinggi di Semenanjung. tetapi berapa ramai yang mengetahui bahawa Sarawak juga mempunyai lokasi perlancongan tanah tingginya yang tersendiri?
Puncak Borneo yang terdapat di Padawan merupakan antara lokasi paling indah andai memilih untuk bercuti di tanah tinggi di negeri Sarawak. Apa yang membezakan antara Puncak Borneo dan lain-lain lokasi tanah tinggi di Semenanjung adalah, Puncak Borneo langsung tidak mempunyai ladang-ladang sayur atau buah-buahan seperti Cameron Highland dan Kasino yang menyesakkan seperti di genting Highland.
Keindahan Puncak Borneo yang mengekalkan keindahan alam sekitar dengan sedikit sentuhan resort, sama seperti apa yang disajikan oleh Fraser Hill di Pahang. Dengan mengambil masa perjalanan selama lebih kurang sejam setengah dari bandar Kuching, Puncak Borneo pastinya menyajikan kenyamanan udara dengan dikelilingi hutan tropika yang cukup menyamankan.
Seperti kawasan percutian berbukit yang lain, untuk menuju ke Puncak Borneo, anda perlu menempuh jalan yang penuh selekoh tajam dan anda juga disajikan dengan penempatan etnik Bidayuh di kiri dan kanan jalan menuju Puncak Borneo. Memandangkan Padawan merupakan antara penempatan paling besar kaum Bidayuh di Sarawak, anda pastinya akan mudah bertemu dengan etnik berkenaan.
Andai bernasib baik, anda akan melihat corak kehidupan harian mereka secara langsung. Pemikiran kolot dan dungu yang mengatakan kaum Dayak di Sarawak masih bercawat, minum menggunakan buluh dan tinggal di atas pokok langsung tidak wujud lagi andai anda melihat kehidupan mereka hari ini.
Untuk ke Puncak Borneo, anda boleh memilih samada ingin memandu sendiri atau memilih untuk menaiki kenderaan yang disediakan oleh pihak resort dengan bayaran serendah RM 100. Tiket yang dikenakan untuk masuk ke Puncak Borneo hanya RM 8 dan dari pintu gerbang berkenaan, ianya cuma mengambil masa 10 hingga ke 15 minit untuk tiba di puncaknya.
Namun, jika anda memilih untuk memandu sendiri, anda harus cekap mengendalikan kenderaan anda memandangkan jalannya masih berliku dan kadangkala anda terpaksa melalui kecerunan 45 darjah.
Sebaik tiba, anda boleh menempah resort yang disediakan dengan kadar harga RM 150 dan keatas semalam. Paling menarik, di puncak ini juga anda boleh melihat dengan jelas sempadan Kalimantan dan disini tiket untuk masuk hanya RM 10 dan ianya boleh digunakan sepanjang anda menginap di Puncak berkenaan.
Bagi pencinta kedamaian hutan, anda juga boleh memilih untuk melakukan jungle tracking dimana anda boleh memilih untuk melakukannya sendiri (daftar nama terlebih dahulu) atau menggunakan penunjuk arah yang telah disediakan.
Nyata, percutian dikawasan tanah tinggi yang disediakan disini amat berbeza dan terlalu indah untuk diucapkan dengan kata-kata. Paling utama, kebersihan dan penjagaan sekitar Puncak Borneo ini amat dititik beratkan. Pergilah untuk menikmati pemandangan yang cukup menakjubkan dan ianya amat sesuai untuk percutian sekeluarga.-pru14.tv
Puncak Borneo, Keindahan Yang Tiada Taranya
Reviewed by Unknown
on
November 23, 2015
Rating:
No comments: