Pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sarawak dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Kerajaan Pusat dari Mac 2004 hingga Februari 2006. Adenan, 71, juga pernah bertugas sebagai guru, wartawan, majistret dan penasihat perundangan sebelum bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak di kerusi Muara Tuang pada Januari 1979.
Bapa kepada lima orang anak ini mempunyai rekod yang cemerlang dalam politik - memenangi kesemua kerusi negeri dan parlimen yang pernah ditandinginya sejak 1979. Beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi pada pilihan raya negeri 16 Mei 2011.
Beliau yang menerima pendidikan undang-undang di Australia dan pernah menjadi naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Adenan dulunya merupakan ketua penerangan PBB.Tokoh politik veteran itu pertama kali dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran negeri sebagai Menteri Muda Pembangunan Tanah pada 1985.
Dua tahun kemudian beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negeri di Kementerian yang sama. Pada 1992 beliau berpindah ke Kementerian Pembangunan Sosial Negeri dan pada 1998, sebagai Menteri di Kementerian yang baru diwujudkan iaitu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri.
Sebagai seorang pentadbir dan pengamal undang-undang, beliau pernah dilantik sebagai pendakwa raya seawal tahun 1969 di Pejabat Pendakwa Raya Adelaide dan pernah berkhidmat sebagai majistret dari 1971 hingga 1972.
Adenan menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada 1975 dan dilantik sebagai pengerusi Yayasan Sarawak pada 1 Februari 1999 selepas Ketua Menteri ketika itu Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatan itu.
Dan pelantikan Adenan selaku ketua menteri yang baru juga mencatatkan satu sejarah baru untuk negeri Sarawak. Ini kerana beliau etnik Melayu yang pertama yang menerajui negeri itu selaku ketua menteri.
Dua ketua menteri sebelum ini iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Datuk Tawi Sli adalah dari etnik Iban manakala Tan Sri Abdul Taib adalah dari etnik Melanau dan begitu juga Tun Abdul Rahman Yakub iaitu bapa saudara Taib. -Sarawakiana
Sepintas Lalu Tentang Tan Sri Haji Adenan Satem
Reviewed by Unknown
on
November 24, 2015
Rating:
No comments: