Seo Services

Sistem Dwibahasa Dalam Urusan Rasmi Tidak Akan Menyebabkan Perpecahan


KUCHING: Keputusan Sarawak menggunakan sistem dwibahasa dalam urusan rasmi tidak akan menyebabkan perpecahan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Menteri Kanan Negeri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, malah penggunaan bahasa Inggeris dan Malaysia akan meningkatkan lagi integrasi antara kedua-dua pihak.

Beliau menjelaskan, rakyat Sarawak masih boleh berkomunikasi dengan rakyat di Semenanjung Malaysia pada masa sama berinteraksi baik dengan pelabur, warga asing dan pegawai dagang lebih-lebih lagi dalam konteks negeri ini yang sedang giat membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Menggunakan sistem dwibahasa tidak akan menyebabkan perpecahan antara timur dan barat (Malaysia), sebaliknya meningkatkan lagi integrasi dengan rakyat Sarawak.

“Jadi fasih dalam dua bahasa tidak akan merugikan mana-mana pihak apabila dapat berkomunikasi dengan baik dengan rakyat di Semenanjung Malaysia selain berkomunikasi dengan orang asing, pelabur, pegawai dagang,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat Sosio Budaya Kerajaan Tan Sri Rais Yatim yang mahu kerajaan negeri mempertimbangkan kembali keputusan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri, demi perpaduan negara.

Menurut Rais yang dipetik sebagai berkata, langkah kerajaan Sarawak itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Bukankah ini disintegrasi ataupun mencetuskan keadaan kita akan berpecah. Jadi dari segi kenegaraan saya sangat musykil pendirian kerajaan negeri (Sarawak) sekiranya nak diteruskan perkara ini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) turut menjadikan Rais yang juga fasih berbahasa dalam bahasa Inggeris sebagai contoh.

“Jika saya ingat dengan baik, beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di sebuah universiti di United Kingdom, di mana kertas kerja adalah dalam bahasa Inggeris.

“Ini mencerminkan beliau merupakan fasih dalam dua bahasa sekali gus tidak mengurangkan kebolehan beliau berintegrasi dengan rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung Malaysia mahupun di Malaysia Timur,” katanya.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah turut mempersoalkan sumbangan Rais dalam meningkatkan integrasi nasional antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia sewaktu memegang jawatan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dahulu.

“Malaya hanya mengiktiraf Dayak sebagai bangsa selepas 50 tahun Merdeka. Rais tidak pernah menyebut apa-apa mengenai Dayak sebagai kumpulan kaum ketika berkhidmat sebagai Menteri Perpaduan (Kebudayaan, Kesenian dan Warisan).

“Ketika beliau menjadi Menteri Perpaduan Malaysia, beliau melayan Dayak sebagai ‘patung’ dan ‘model’ untuk foto kebudayaan, papan iklan dan iklan televisyen sahaja dan ia tidak memadai untuk integrasi,” katanya.-UB
Sistem Dwibahasa Dalam Urusan Rasmi Tidak Akan Menyebabkan Perpecahan Sistem Dwibahasa Dalam Urusan Rasmi Tidak Akan Menyebabkan Perpecahan Reviewed by Unknown on November 25, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.