Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh mengucapkan tahniah kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang muncul juara pertandingan debat tahunan antara universiti Cambridge (Cambridge IV).
“Tahniah kepada UiTM dan UIAM kerana muncul juara pada Pertandingan Debat Intervarsity Cambridge baru-baru ini,” kata Idris menerusi catatan terbaru dalam laman Facebook beliau semalam.
Idris juga merakamkan ucapannya kepada thestar.com.my yang menyiarkan berita mengenai kejayaan pelajar universiti di Malaysia, dengan UiTM memenangi hadiah utama bagi pertandingan keseluruhan, sementara UIAM menjuarai kategori Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL), pada pertandingan yang diadakan selama dua hari mulai Jumaat lepas di Universiti Cambridge, United Kingdom.
UiTM diwakili Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron dan Jasmine Ho, kedua-duanya berusia 22 tahun.
UIAM diwakili oleh Ameera Natasha Moore, 22, dan Sara Rahim, 20, yang menewaskan Universiti Tel Aviv dari Israel serta Leiden A dan Leiden B, kedua-duanya dari Belanda.
Sebanyak 128 pasukan daripada pelbagai universiti termasuk Universiti Harvard, Universiti Oxford, London School of Economics, Universiti Toronto, Universiti Tel Aviv, Universiti Cornell dan Trinity College Dublin, menyertai pertandingan itu.
– Bernama
UiTM Dan UIAM Juara Debat Tahunan Antara Universiti Cambridge
Reviewed by Unknown
on
November 23, 2015
Rating:
No comments: