Seo Services

Elak Obesiti, Inisiatif 'Trim & Fit' PDRM Perlu Berterusan

Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah

KUALA LUMPUR: Saban tahun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta anggotanya yang mempunyai berat badan berlebihan dari Indeks Jisim Badan (BMI) supaya mengurangkannya agar dapat melaksanakan tugas dengan lebih cakap dan pantas.

Nasihat itu turut diiringi dengan peringatan bahawa aspek berkenaan menyumbang kepada penilaian bagi pengesahan atau kenaikan pangkat seseorang pegawai mahupun anggota.

Malangnya, masih terdapat ramai warga PDRM yang berbadan gemuk.

Selain PDRM, keadaan serupa berlaku di kalangan anggota penguatkuasaan dan keselamatan lain yang sejak dahulu lagi terkenal dengan imej berketerampilan, kemas, segak dan tegap.

Pada Rabu lepas, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah mengumumkan bahawa PDRM bakal mewajibkan warganya lulus ujian BMI dan beberapa ujian kesihatan lain sebagai satu syarat kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan. Cadangan yang sudah dipersetujui kepimpinan PDRM itu akan dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

SYARAT KENAIKAN PANGKAT

Selain itu, Zulkifli berkata rekod tahun lepas menunjukkan 250 anggota PDRM meninggal dunia semasa berkhidmat akibat pelbagai komplikasi penyakit, seperti sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang biasanya berpunca daripada kegagalan mengawal pemakanan serta tidak bersenam.

Justeru, PDRM memperkenalkan projek perintis, 'Trim & Fit 2016' yang akan berlangsung selama enam bulan bermula bulan ini. Projek disertai 35 pegawai serta anggota Jabatan Pengurusan Bukit Aman bagi memastikan tahap kesihatan warganya menjadi lebih baik.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye berkata syarat yang bakal diambil PDRM itu meskipun dilihat berat, ia sangat bertepatan dan selari dengan tugas serta cabaran yang perlu digalas pasukan itu.

Beliau berkata masalah kegemukan dan obesiti menyukarkan anggota keselamatan bagi melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, cepat serta efisien termasuk untuk mengejar dan menangkap penjenayah.

INISIATIF BAIK

Malaysia seharusnya mencontohi negara maju lain yang menitikberatkan kesihatan dan bentuk fizikal anggota penguatkuasaan dan keselamatan mereka.

"Hasrat pihak atasan PDRM untuk mewajibkan semua pegawai polis dan anggota supaya berada dalam keadaan sihat adalah sesuatu yang harus disokong... kita tidak mahu berat badan menjadi punca mereka tidak boleh menjalankan tugas dengan baik.

"Meskipun isu berat badan bukan satu-satunya ukuran untuk tujuan kenaikan pangkat, tetapi syarat itu sememangnya perlu ditekankan dan setiap anggota perlu memberi perhatian serius terhadap kesihatan mereka," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Lee berkata program 'Trim & Fit' itu merupakan satu inisiatif baik untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, namun ia haruslah dijalankan secara berterusan.

"Jangan hanya promosi sekali atau buat apabila rasa hendak buat sahaja... kalau mahukan kesan positif untuk jangka masa panjang, ia perlu dikekalkan dan dijadikan kegiatan wajib.

"Tetapkan jadual dan masa untuk mereka bersenam... ataupun, anggota polis itu sendiri perlu mencari masa untuk bersenam, berjogging atau ke gimnasium, selain menjaga pemakanan bagi mengurangkan atau mengekalkan berat badan yang ideal," katanya.

WAJIBKAN PASUKAN PENGUATKUASA LAIN

Katanya program serupa juga seharusnya diwajibkan kepada penjawat awam lain terutamanya yang terlibat dalam bidang penguatkuasaan atau keselamatan.

"Obesiti bukan hanya melibatkan anggota polis malah agensi penguatkuasaan lain... mereka seharusnya sentiasa cergas dan tidak mengalami masalah berat badan," tegas Lee.

Sekiranya anggota dan pegawai polis mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan serta dapat mengelak sebarang penyakit akibat obesiti yang boleh menjejaskan prestasi kerja, imej pasukan akan menjadi lebih baik.

Dalam pada itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berkata syarat yang bakal dilaksanakan PDRM seharusnya dilakukan sejak dahulu lagi bagi menjaga imej dan profesionalisme pasukan itu.

Ia adalah langkah proaktif dalam membendung masalah kegemukan yang sering dipersoalkan masyarakat terhadap polis.

"Masyarakat sering memandang sinis dan tidak hormat pada polis yang berbadan gemuk serta buncit kerana berasakan mereka kurang cekap berbanding anggota yang mempunyai fizikal lebih baik.

"Sebagai anggota polis yang telah lali dengan tugasan mencabar, mereka tidak seharusnya berasa tertekan dengan syarat ini malah hendaklah berfikiran positif dan menyahut seruan berkenaan," katanya.

-- BERNAMA
Elak Obesiti, Inisiatif 'Trim & Fit' PDRM Perlu Berterusan Elak Obesiti, Inisiatif 'Trim & Fit' PDRM Perlu Berterusan Reviewed by Unknown on January 08, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.