Beberapa laluan darat terputus kerana ancaman kebakaran yang dikhuatiri merebak ke kawasan yang lebih luas. - Gambar fail |
PERTH: Dua orang maut, seorang masih lagi hilang manakala 121 bangunan musnah dalam kejadian kebakaran hutan yang berterusan di barat Australia.
Mayat dua lelaki tersebut ditemui pihak berkuasa ketika memeriksa sisa bangunan yang musnah terbakar di bandar perusahaan kayu Yarloop, pada Khamis.
Kedua-dua lelaki itu, dalam lingkungan umur 70-an, belum dikenal pasti lagi.
Darurat telah diisytiharkan di kawasan perniagaan yang sebelum ini aktif menghasilkan produk daging lembu dan tenusu tersebut dan penduduk dari lima bandar telah dipindahkan.
Pengusaha tenusu yang terjejas dengan kebakaran terpaksa membuang beribu-ribu liter susu sejak Khamis, kerana jalan yang terputus menyukarkan lori sampai ke ladang-ladang selain ketiadaan bekalan elektrik yang membantutkan proses pengeluaran.
Kumpulan pelancong dan mereka yang bercuti di resort pantai berdekatan turut dipindahkan dengan menggunakan feri memandangkan jalan darat terputus akibat kesan kebakaran tersebut.
Kebakaran itu dilaporkan berpunca daripada panahan kilat dan setakat ini telah memusnahkan kawasan tanah seluas 67,000 hektar.
Anggota bomba telah diterbangkan dari New South Wales untuk membantu pasukan tempatan yang keletihan.
Satu lagi kebakaran besar di tenggara negeri itu iaitu di bandar Esperance, juga berada di luar kawalan.
Kebakaran hutan merupakan sesuatu yang biasa berlaku di negara itu ketika musim panas tetapi para saintis telah memberi amaran bahawa perubahan iklim akan menyebabkan musim panas tahunan itu berpanjangan.-Awani
Kebakaran Hutan Di Barat Australia Berterusan, Dua Maut
Reviewed by Unknown
on
January 11, 2016
Rating:
No comments: