Seo Services

Langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 Praktikal, Kata Pakar Ekonomi, Ahli Perniagaan


KUALA LUMPUR: Pakar ekonomi dan ahli perniagaan berkata cadangan pengubahsuaian Bajet 2016 ekoran kejatuhan harga minyak yang menjejaskan hasil kerajaaan adalah satu langkah praktikal.

Mereka berkata pengubahsuaian itu adalah berdasarkan kepada realiti keadaan ekonomi sekarang kerana langkah itu akan menentukan tindakan dan seterusnya keputusan peruntukan sumber.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam ucapan beliau di Kementerian Kewangan Jumaat berkata pengubahsuaian Bajet 2016 akan dibentangkan tidak lama lagi dalam suasana tahun baharu yang mencabar.

Beliau berkata pengubahsuaian itu akan melibatkan, antara lainnya, langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan syarikat berkaitan kerajaan dan memastikan kerajaan terus menjaga kesejahteraan rakyat.

"Apabila berkaitan dengan bajet, terdapat perkara yang berada di luar kawalan kita, seperti penurunan harga minyak," katanya.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan perlu realistik dan mengambil kira terutamanya kitaran ekonomi apabila membuat andaian.

"Setakat ini, kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan negara boleh menangani cabaran itu dengan mengurangkan pergantungannya kepada hasil berkaitan minyak," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Beliau berkata bahagian sumbangan hasil minyak kepada kerajaan merosot daripada 41 peratus pada 2009 kepada kira-kira 14 peratus pada 2016.

Bagaimanapun, beliau berkata, Malaysia agak lebih baik berbanding negara-negara Majlis Kerjasama Teluk di mana hasil minyak menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah hasil kerajaan.

Mengenai implikasi pengubahsuaian bajet kepada sasaran defisit fiskal Malaysia tahun ini pada 3.1 peratus, Mohd Afzanizam berkata: "Semakan semula yang tinggi sedikit tidak akan menjejaskan perbelanjaan pembangunan."

Beliau berkata pengguna dijangka terus berhati-hati berbelanja berikutan sentimen lemah.

"Justeru itu, kita memerlukan sedikit pemangkin untuk memastikan pertumbuhan ekonomi tidak akan terjejas teruk," katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara Jobstreet.com, Chook Yuh Yng berkata, pengubahsuaian bajet itu mencerminkan realiti ekonomi 2016 dan amat penting untuk memastikan ia terkawal.
"Dalam tempoh mencabar ini, penting untuk melihat bagaimana menjadikan situasi bertambah baik. Apa sahaja yang boleh meningkatkan daya saing negara dialu-alukan terutamanya dengan ekonomi ASEAN yang semakin terbuka," katanya kepada Bernama.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan memastikan insentif bagi petani dan nelayan tidak akan terjejas dalam pengubahsuaian bajet itu.

Beliau berkata insentif ini perlu dikekalkan untuk membantu petani dan nelayan berdepan kos hidup tinggi.

- AstroAwani
Langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 Praktikal, Kata Pakar Ekonomi, Ahli Perniagaan Langkah Pengubahsuaian Bajet 2016 Praktikal, Kata Pakar Ekonomi, Ahli Perniagaan Reviewed by Unknown on January 09, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.