Menurut Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan, hala tuju harga minyak, ringgit serta pemulihan situasi ekonomi China merupakan antara faktor penting yang dijangka akan menyumbang kepada pemulihan matawang serta bursa tempatan tahun ini.
“Ketiga-tiga ini dicampur pula dengan langkah rangsangan besar-besaran di Eropah, China, malah Jepun juga, membuatkan ramalan saya ringgit akan naik kepada RM3.95 kepada dolar Amerika dan minyak pulih semula sekitar USD45-50 setong,” kata beliau dalam temubual ekslusif bersama Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau menambah dengan menyatakan keyakinannya bahawa indeks FBM KLCI akan mencecah paras 1,800 mata menjelang hujung tahun ini.
“Saya yakin sektor yang akan menerajui peningkatan di bursa tempatan ini adalah sektor-sektor yang akan mendapat tempias dari peningkatan harga komoditi dan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dilakukan tidak lama lagi, seperti sektor minyak dan perladangan,” tambah beliau.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa sasaran defisit fiskal -3.1% kerajaan bagi 2016 mungkin perlu dilihat semula berikutan susutan pendapatan kerajaan, khususnya dari peruduman sektor minyak dan gas.
“Tetapi kerajaan telah perkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jadi terdapat pendapatan tambahan bagi kerajaan kira-kira RM30 bilion di situ,” tegas beliau.
Beliau bagaimanapun mencadangkan agar kerajaan turut mengambil langkah bagi merangsang semula penggunaan domestik yang telah menurun akibat peningkatan inflasi menerusi pengenalan GST.
“Mungkin kerajaan boleh banyakkan lagi kempen-kempen jualan murah di Malaysia, mungkin kita boleh banyakkan kempen beli barangan tempatan berbanding barang buatan luar, atau merancakkan lagi pelancongan,” kata beliau.
Nazri berkata beliau yakin prospek ekonomi Malaysia terus positif tahun ini dengan negara akan berupaya mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5%.
“Saya nasihatkan para pelabur supaya menggunakan kelemahan buat masa ini untuk memasuki pasaran Malaysia secara perlahan-lahan dan mungkin dalam masa 6 hingga 7 bulan anda akan lihat keputusan yang positif.” - AWANI
Prospek Ekonomi Malaysia Cerah Memasuki 2016
Reviewed by uMieySurianie
on
January 05, 2016
Rating:
No comments: