KUCHING - Polis Sarawak merekodkan kadar kejayaan 100 peratus dalam menyelesaikan 149 kes rogol yang dilaporkan di negeri ini tahun lepas, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar M.M Sree Shunmugam.
Beliau berkata majoriti kes adalah kes rogol statutori melibatkan kerelaan gadis bawah umur.
"Hanya tiga kes melibatkan keganasan. Kami mencapai kadar kejayaan 100 peratus menyelesaikan setiap kes yang dilaporkan. Kesemua suspek ditahan dan kebanyakan daripada mereka didakwa di mahkamah," katanya kepada pemberita semalam.
Katanya Jabatan Siasatan Jenayah negeri memandang serius jenayah kekerasan terhadap golongan wanita.
"Saya telah mengarahkan semua Ketua Siasatan Jenayah daerah dan Unit Jenayah Seksual (D11) agar tidak memandang ringan laporan mengenai keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak.
"Kes-kes sebegini perlu disiasat segera dan pesalah perlu dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Dalam pada itu, Dev Kumar berkata dua laporan kes rogol diterima pihaknya tahun ini dengan satu kes melibatkan kanak-kanak.
Kes rogol yang dilaporkan di Sarawak meningkat lima kes atau tiga peratus berbanding yang dilaporkan pada 2014, katanya. - Bernama
Rekod Kadar Kejayaan 100 Peratus Selesai Kes Rogol
Reviewed by Unknown
on
January 09, 2016
Rating:
No comments: