KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengajak rakyat mengenang pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga kerana berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Perdana Menteri berkata, jasa anggota pasukan keselamatan amat besar bagi memastikan rakyat selamat menjalani ibadat puasa dan menyambut Aidilfitri dalam keadaan aman serta harmoni.
"Saya ingin mengambil peluang mengingati pasukan keselamatan kita yang tidak dapat meraikan perayaan bersama keluarga mereka... amat besar jasa mereka dan kita rakyat Malaysia memberikan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka.
"Mudah-mudahan amalan kita diberkati dan kita dapat beraya dengan penuh kegembiraan pada 1 Syawal ini," katanya menerusi entri terbaru yang dimuat naik di laman sosial rasmi termasuk blog najibrazak.com dan Facebook, hari ini.
Perdana Menteri turut menasihatkan umat Islam supaya melengkapkan ibadat di bulan Ramadan dengan cuba mendapatkan keberkatan Lailatul Qadar. Beliau berkata, malam Lailatul Qadar menjanjikan pahala berlipat ganda atas segala amalan yang dilakukan, di samping mendapat keampunan daripada Allah.
"Kini kita berada di malam-malam terakhir Ramadan, Syawal sudah menghampiri dan saya percaya ramai antara kita mula berasa teruja untuk pulang beraya di kampung.
"Namun saya ingin mengingatkan semua termasuk diri saya bahawa Ramadan adalah bulan kita beribadat, manakala Aidilfitri adalah hari kita meraikan kejayaan beribadat sepanjang Ramadan," katanya.
Najib turut meminta rakyat yang mahu memulakan perjalanan pulang ke kampung supaya berhati-hati di jalan raya.
"Kita ingin sampai ke destinasi dengan selamat. Biarlah ibu bapa atau atuk dan nenek dapat menerima kita di kampung dalam keadaan ceria," katanya. - BH
Kenang Pengorbanan Pasukan Keselamatan - PM
Reviewed by uMieySurianie
on
July 01, 2016
Rating:
No comments: