Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Saiful Bahari Abdullah hari ini menafikan dakwaan bahawa Balai Polis Lanang di sini tidak dibuka 24 jam seperti balai polis lain.
Beliau berkata Balai Polis di Jalan Lanang itu merupakan antara empat balai di bandar ini yang dibina untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat selama 24 jam sepanjang tahun.
"Kita tidak pernah tutup Balai Polis Lanang selepas tengah malam walaupun selama lima minit. Balai ini dibuka 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun," katanya kepada pemberita dan menambah bagaimanapun pintu pagar balai itu ditutup dari jam 12.00 tengah malam hingga 6.00 pagi keesokan hari.
Jelas beliau, walaupun pintu pagar itu tertutup namun sentiasa terdapat anggota yang bertugas untuk membuka pintu pagar kalau terdapat orang awam yang datang bagi berurusan dengan pihak polis.
Beliau mengulas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Irene Chang dalam akhbar tempatan baru-baru ini yang meminta pihak polis supaya meneliti aduan orang awam bahawa Balai Polis Lanang tidak dibuka 24 jam sehari.
Menurut Irene, seorang orang awam yang hendak membuat laporan polis berkaitan kecurian motosikalnya pada pukul 5.30 pagi baru-baru ini tidak dapat berbuat demikian kerana balai itu dianggap telah tutup kerana keadaannya yang gelap dan hanya lampu di pintu hadapan yang bernyala.
Disebabkan keadaan itu pengadu tidak berani untuk masuk ke dalam balai tersebut, sebaliknya pergi ke Balai Polis Central di pusat bandar untuk membuat laporan, katanya.
ACP Saiful berkata pintu pagar balai polis itu ditutup demi menjaga keselamatan balai dan anggota yang bertugas.
"Pernah suatu ketika dahulu seorang pemandu mabuk merempuh pintu pagar dan memandu kenderaannya masuk ke dalam kawasan balai. Ada juga orang awam yang melempar mercun dan membaling batu sehingga menyebabkan cermin pintu masuk utama pecah," katanya.
-- BERNAMA
Balai Polis Lanang Dibuka 24 Jam - OCPD Sibu
Reviewed by Admin
on
August 30, 2016
Rating:
No comments: