![]() |
Foto BERNAMA |
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29 serta sidang kemuncak yang berkaitan di Vientiane, Laos, mulai esok hingga Khamis ini.
Ketibaan Perdana Menteri antara lain akan diiringi oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman Aman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, Najib dijadual mengadakan beberapa mesyuarat hubungan dua hala dengan pemimpin negara anggota ASEAN dan negara rakan dialog bagi membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.
Pada akhir sidang kemuncak ASEAN itu, pemimpin ASEAN akan memperakukan dua dokumen hasil, iaitu Deklarasi Vientiane mengenai Perakuan Inisiatif Pelan Kerja Integrasi ASEAN Ketiga dan Deklarasi Vientiane mengenai Perakuan Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN 2025.
Kedua-dua dokumen yang menjadi sebahagian daripada ASEAN 2025: Memacu Bersama itu masing-masing bertujuan mengurangkan jurang pembangunan dan pembasmian kemiskinan antara anggota ASEAN serta memainkan peranan utama dalam mempergiatkan integrasi di rantau ini.
"Pemimpin ASEAN juga akan menandatangani 'Deklarasi ASEAN mengenai Satu ASEAN Satu Suara: Gerakan ASEAN Sebagai Satu Blok Ketika Bencana di Dalam dan Luar Rantau' untuk meningkatkan usaha dalam pengurusan bencana, koordinasi serta keterampilan ASEAN," katanya, hari ini.
Perdana Menteri dan pemimpin ASEAN juga dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-19; Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11; dan Sidang Kemuncak ASEAN dengan rakan dialog ASEAN termasuk Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Najib akan turut menyertai beberapa mesyuarat dengan wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).
"Selain mesyuarat peringkat pemimpin, Menteri-Menteri Luar ASEAN akan menandatangani Instrumen mengenai Penerimaan Hubungan Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) dengan delegasi dari Chile, Mesir dan Maghribi.
TAC adalah asas untuk mempromosikan keamanan, persahabatan dan kerjasama antara anggota TAC, selain menyumbang kepada perpaduan serta hubungan lebih rapat.
Sidang Kemuncak ASEAN kali ini yang dipengerusikan oleh Laos dengan tema 'Penjelmaan Matlamat kepada Realiti untuk Komuniti ASEAN yang Dinamik' adalah pertemuan pertama sejak penubuhan Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015.
Ia bertepatan dengan perbincangan barisan pemimpin mengenai hala tuju serantau terhadap pelbagai usaha pembangunan komuniti, seperti yang direncana dalam dokumen 'ASEAN 2025: Memacu Bersama'.
Sidang Kemuncak ASEAN ini juga akan memberi peluang kepada pemimpin negara anggota untuk bertukar pandangan mengenai hala tuju ASEAN dan hubungan luarnya, selain pelbagai isu serantau serta antarabangsa. - BH
Najib Ketuai Delegasi Malaysia Ke Sidang Kemuncak ASEAN
Reviewed by uMieySurianie
on
September 05, 2016
Rating:

No comments: