ALOR SETAR: Kedah mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Sarawak 3-2 di depan 20,000 penyokong setia di Stadium Darulaman, di sini, malam tadi.
Tiga mata penuh itu dalam perlawanan kedua itu turut disaksikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang dianggap hadiah buat baginda sempena Hari Keputeraan Ke-89.
Sarawak memperoleh gol pertama seawal minit ke-9 apabila Mark Andrew Hartman memanfaatkan sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol Kedah Mohd Farhan Abu Bakar.
Usaha berterusan tuan rumah ke kubu pelawat akhirnya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-21 perlawanan hasil hantaran silang Baddrol Bakhtiar yang terkena pemain pelawat sebelum menerjah masuk ke gawang sendiri.
Bagaimanapun kegembiraan itu hanya bertahan empat minit apabila kesilapan Farhan yang keluar lebih awal dari gawangnya mengundang padah apabila Tommy Mawat yang menerima umpanan Hartman merembat masuk untuk Sarawak mendahului 2-1.
Bermula separuh masa kedua, pemain Kedah mula menyerang ke kubu lawan dan kembali menceriakan penyokongnya apabila sepakan Sandro Da Silva minit ke-70 menjadikan kedudukan kembali terikat 2-2.
Malah selang dua minit kemudian Kedah buat kali pertama berada di depan hasil jaringan Mohd Syazwan Zainon yang menerima umpanan Sandro Da Silva bagi memastikan kemenangan tuan rumah.-myMetro
Sarawak Kalah Bermaruah
Reviewed by Unknown
on
January 28, 2017
Rating:
No comments: