KUCHING: Hasrat seorang ayah untuk berjumpa dengan anak-anaknya tidak kesampaian apabila ditemui mati lemas di Kampung Bako dekat sini, semalam.
Menurut sumber, mangsa Muzali Mumin, 37, bertolak dari rumahnya di Kampung Tabuan Melayu malam Selasa lepas untuk berjumpa dengan lima anaknya yang tinggal bersama bekas isterinya di Kampung Bako.
Bagaimanapun, difahamkan anak-anaknya tidak berada di rumah semasa dia tiba di kampung tersebut dan terpaksa menunggu anak-anaknya di jeti kampung berkenaan.
“Mangsa selepas diberitahu bahawa anak-anaknya tiada di rumah kemudian dilihat terus ke jeti kampung tersebut untuk menunggu sehingga anak-anaknya pulang,” kata sumber.
Keluarga mangsa yang risau selepas mangsa tidak pulang pada hari berikutnya kemudian mula mencari mangsa dan diberitahu kali terakhir dia dilihat adalah di jeti tersebut.
Usaha mencari mangsa di sekitar jeti dan tebingan sungai tersebut dilakukan namun tidak berjaya.
“Mayat mangsa bagaimanapun ditemui terapung oleh penduduk kampung tersebut pagi tadi (semalam) dan terus menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata sumber.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.-UB
Hasrat Temui Anak Tidak Kesampaian
Reviewed by Unknown
on
March 31, 2017
Rating:
No comments: