CHENNAI: Datuk Seri Najib Razak berkata, Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India Malaysia akan dilancarkannya pada bulan depan.
Perdana Menteri berkata pelan itu akan ada mekanisme pelaksanaan dan sasaran yang akan ditetapkan supaya ia tidak dianggap sebagai retorik.
"Inisiatif terbaharu untuk masyarakat India penting dalam usaha menyeimbangi pembangunan kaum di Malaysia.
"Ini bukan retorik tapi ada mekanisme pelaksanaan dan sasaran ditetapkan. Kerajaan BN adalah berpaksikan rakyat dan kita mahu setiap kemajuan dirasai semua rakyat," katanya berucap pada majlis bersama pelajar dan komuniti Malaysia di sini, sebentar tadi.
Majlis dihadiri lebih 300 pelajar dan rakyat Malaysia yang menyambung pelajaran dan bekerja di Tamil Nadu dan Karnataka.
Kira-kira 1,400 pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA kini melanjutkan pelajaran di India, kebanyakannya dalam bidang perubatan dan pergigian.
Dalam ucapannya, Najib juga berkata, pengambilan 'houseman' akan dipercepatkan dengan pelajar yang lulus diserap secara kontrak.
Beliau berkata, penyerapan secara kontrak akan menyelesaikan isu 'houseman' yang terpaksa tunggu lama untuk diserapkan dalam perkhidmatan.
Katanya, mereka yang kemudian diserapkan secara tetap boleh mendapatkan tunggakan gaji selepas itu.
Perdana Menteri juga meminta pelajar dan rakyat Malaysia yang menyambung pelajaran di Tamil Nadu dan Karnataka sentiasa memelihara imej negara.
Najib juga mengingatkan pelajar Malaysia mereka adalah masa depan, harapan dan tulang belakang NEGARAKU Malaysia.
Perdana Menteri juga berkata, Chennai mempunyai nilai dan hubungan budaya yang unik dan signifikan di antara Malaysia dengan India, di mana, nenek moyang majoriti rakyat Malaysia berketurunan India adalah berasal dari negeri ini serta berharap nilai dan hubungan budaya itu dikongsi bersama.-BH
Pelan Tindakan Masyarakat India Dilancar Bulan Depan - Najib
Reviewed by Unknown
on
March 31, 2017
Rating:
No comments: