SHAH ALAM: Sebanyak 18 laporan dibuat orang awam yang membantah debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pada 7 April ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, berkata semua laporan itu menyentuh berkenaan aspek keselamatan yang tidak diyakini jika debat itu diteruskan.
Katanya, risikan polis juga mendapati ada pihak tertentu yang akan sengaja membuat kekacauan pada hari berkenaan.
"Kita akan menyiasat segala laporan yang dibuat oleh 18 individu dari daerah Klang, Petaling Jaya, Serdang dan Hulu Selangor.
"Sekiranya hanya dua laporan sahaja diterima, polis akan membenarkan dialog (debat) itu tetapi disebabkan banyak laporan membantah, kita terpaksa batalkan, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mohd Fuad berkata, pihaknya akan memantau lokasi penganjuran bermula hari ini hingga selepas tarikh penganjuran itu. Katanya, pihaknya tidak melindungi sesiapa dalam keputusan pembatalan itu.
"Polis memandang serius dengan laporan yang dibuat. Sekiranya penganjur memohon lagi (permit) dan menepati segala syarat serta tiada laporan bantahan, kita akan luluskan," katanya.
Semalam, polis membatalkan kebenaran penganjuran debat itu yang dijadualkan diadakan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat ini.
Sebelum ini, debat antara kedua-dua tokoh politik itu di Padang Rengas, Perak pada 25 Mac lalu turut dibatalkan atas faktor keselamatan. - BH
18 Laporan Bantah Debat Tun M, Nazri
Reviewed by Azmin
on
April 02, 2017
Rating:
No comments: