KUALA LUMPUR: 'Hidup untuk makan' adalah antara punca jumlah pesakit diabetes di negara ini melonjak secara mendadak, sekali gus melangkaui unjuran awal.
Menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Kementerian Kesihatan menjangkakan satu daripada lima golongan dewasa di Malaysia akan menghidap diabetes menjelang 2020.
Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila unjuran berkenaan berlaku lima tahun awal daripada sasaran, dengan menyaksikan 3.5 juta rakyat Malaysia menghidapi diabetes pada 2015.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perangkaan NHMS 2019-2020 mengenai jumlah penghidap diabetes dijangka meningkat dua kali ganda kepada 35 peratus, berbanding 17.5 peratus pada 2015 jika pelbagai langkah pencegahan tidak diendahkan.
"Bukan hanya gula yang kita risaukan, tetapi makanan seperti nasi dan sumber berasaskan karbohidrat adalah penyumbang utama kepada masalah diabetes.
"Dulu kita faham petani ambil banyak karbohidrat tetapi mereka lakukan pelbagai tugasan dan aktiviti, termasuk membanting tulang sepanjang hari di bendang.
"Ia berbeza dengan keadaan sekarang kerana semua tugasan diserahkan kepada orang lain, namun makan banyak macam dulu juga," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidik Diabetes Malaysia 2017 di sini, hari ini.
Persidangan tiga hari, mulai hari ini itu dianjurkan Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama pelbagai pihak bagi mengekang peningkatan penghidap diabetes di negara ini.-BH
3.5 Juta Rakyat Malaysia Hidap Diabetis
Reviewed by Unknown
on
April 07, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
April 07, 2017
Rating:

No comments: