MIRI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Miri, semalam menghantar bantuan kecemasan termasuk makanan ke Rumah Akai, terletak di daerah Subis dekat sini, selepas banjir menenggelamkan jalan raya utama sedalam empat kaki.
Keadaan itu juga telah menyebabkan rumah panjang tersebut terputus hubungan dengan dunia luar sejak empat hari lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Leftenan (PA) Mohd Hazle Shah Abdul Hamid memberitahu Utusan Borneo di sini semalam, seramai enam anggotanya telah dikerah ke lokasi banjir itu untuk menghulurkan bantuan kecemasan, selain memantau keadaan penduduk.
“Sebanyak 141 pek bantuan bekalan makanan telah dihantar ke rumah panjang tersebut, daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri,” katanya.
“Selain enam anggota APM, turut bersama kami ialah lima anggota tentera dan tiga pegawai JKM.
“Penghantaran bantuan bekalan makanan ke Rumah Akai dilakukan selepas penduduknya terputus hubungan selama empat hari sejak 1 April lalu akibat air melimpah ke jalan raya sedalam lebih kurang empat kaki menyebabkan kenderaan tidak dapat masuk ke kawasan tersebut,” tambahnya.
Jelasnya, pasukan itu menggunakan kenderaan angkatan tentera (ATM) untuk menghantar bekalan tersebut dan selamat tiba untuk diagihkan kepada penduduk di situ, petang kelmarin.
Kawasan tersebut dilanda banjir selepas hujan turun tanpa henti sejak beberapa hari lepas hingga menyebabkan paras air meningkat naik dan melimpah ke jalan utama dan kawasan rendah.-UB
APM Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir
Reviewed by Unknown
on
April 06, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
April 06, 2017
Rating:

No comments: