Seo Services

Duterte Arah Tentera Duduki, Pertahan Pulau


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengarahkan tentera menduduki dan melindungi semua pulau yang dikuasai negara itu di wilayah yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan.

“Kami cuba bersahabat dengan semua orang tetapi kini kami perlu mengekalkan bidang kuasa di sekurang-kurangnya kawasan yang kami kuasai,” katanya ketika melawat kem tentera di wilayah Palawan semalam.

Duterte berkata, dia mengarahkan angkatan bersenjata menduduki dan mengibarkan bendera di semua pulau, terumbu dan beting pasir yang dikuasai negara itu.

“Terdapat sembilan atau 10 pulau di sana yang perlu kami pertahankan.

“Saya mesti membina kubu di sana atau rumah untuk menempatkan penduduk,” ujarnya.

Duterte juga memberitahu, dia mungkin melawat pulau Pag-asa di wilayah berkenaan dan mengibarkan bendera pada sambutan Hari Kemerdekaan negara itu.

Ujarnya, peruntukan diluluskan untuk membaiki landasan kapal terbang di Pag-asa yang didiami komuniti kecil nelayan dan askar Filipina.

China menuntut hampir keseluruhan wilayah di Laut China Selatan yang turut mempunyai tuntutan bertindih dengan beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Sejak berkuasa Jun lalu, Duterte berusaha menjalinkan hubungan rapat dengan Beijing yang sebelum ini regang ketika pemerintahan pemimpin sebelum ini. - AP
Duterte Arah Tentera Duduki, Pertahan Pulau Duterte Arah Tentera Duduki, Pertahan Pulau Reviewed by Unknown on April 07, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.