SIBU: Jualan sayap ayam di bandar ini dilaporkan mengalami penurunan mendadak sehingga 80 peratus, sejak isu beberapa tan sayap ayam sejuk beku dilupuskan dan ditanam di Bukit Aup yang tular sejak Jumaat lepas.
Apabila berita mengenai pelupusan sayap ayam itu tersebar dalam kalangan penduduk tempatan, ramai yang datang ke tapak itu semalam untuk menggali keluar sayap ayam yang ditanam tanpa menghiraukan kemungkinan bahagian ayam itu berbahaya kepada kesihatan mereka.
Ada yang mengambil peluang keemasan ini untuk mengaut keuntungan dengan menjual semula sayap ayam ‘gali’ serendah RM6 sekilogram berbanding harga pasaran RM12.
Berikutan laporan berita yang mendorong penduduk kampung berhampiran mengutip semula sayap ayam beku yang telah ditimbus, orang ramai teragak-agak untuk membeli sayap ayam di pasaran.
Difahamkan kepak ayam tersebut dirampas oleh Unit Penguat Kuasa Kastam di Pelabuhan Sibu Rajang, berasal dari Belanda.
Memetik laporan Utusan Borneo, Pengerusi Kebajikan Penjaja Pasar Sentral Sibu Tan Hong Kiang memberitahu bahawa tidak banyak pelanggan datang membeli sejak pagi semalam.
“Orang ramai menjadi takut untuk membeli memikirkan sayap ayam yang dijual di pasaran mungkin diperolehi dari sumber tapak pelupusan tersebut yang berisiko tercemar,” jelas Tan.
Beliau kesal kerana kes itu telah memberi kesan kepada penjaja. – Sarawakiana
Jualan Sayap Ayam Di Sibu Turun Mendadak
Reviewed by uMieySurianie
on
April 06, 2017
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
April 06, 2017
Rating:

No comments: