
KOTA KINABALU: Seorang jurutera kapal dagang warga Romania meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik enjin sebuah kapal dagang ketika belayar ke pelabuhan Yu Lian, Shekou, China di perairan barat laut Labuan, dekat sini, semalam.
Stelian Mevlit, 36, jurutera kapal Berge Artic milik Berge Bulk Maritime PTE Ltd di Singapura, dijumpai pengsan oleh sekumpulan kru sebelum mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.20 petang daripada Hospital Queen Elizabeth memaklumkan mayat seorang lelaki disyaki mati mengejut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Katanya, mangsa sebelum itu dibawa menggunakan helikopter milik Tentera Udara Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari tengah laut untuk rawatan.
"Siasatan awal mendapati kru kapal itu terlebih dahulu menghubungi talian kecemasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum panggilan disalurkan kepada pasukan TUDM.
"Sepasukan anggota TUDM diarahkan ke lokasi menggunakan helikopter untuk tindakan kecemasan.
"Mangsa yang sudah meninggal dunia tiba di Terminal 2 KKIA jam 2 petang sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut.
"Siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh badan mangsa dan kejadian ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya di sini hari ini.
Mayat warga Romania itu dihantar ke Unit Forensik (QEH) untuk bedah siasat. - BH
Jurutera Kapal Dagang Maut Dalam Bilik Enjin
Reviewed by Azmin
on
April 06, 2017
Rating:
No comments: