PETRA JAYA: Prasarana sukan serba lengkap di beberapa bandar utama negeri ini mampu menjadikan Sarawak sebagai 'pengeluar' jaguh sukan negara pada masa depan.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, berkata sejak beberapa tahun lalu, sudah ada beberapa jaguh sukan negara dilahirkan di negeri ini.
Justeru, katanya, tidak mustahil ramai lagi bakat baharu akan dibentuk untuk membawa cabaran negara pada saingan peringkat antarabangsa, selepas ini.
"Keyakinan itu berasaskan kepada prasarana sukan yang ada di negeri ini yang serba lengkap.
"Manfaatkan segala kemudahan itu untuk melatih bakat baharu dan saya percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk kita menghasilkan lebih ramai jaguh Olimpik pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Hari Sarapan Terbesar MILO di Pustaka Negeri, di sini, hari ini.
Lebih 6,000 penduduk bandar raya ini menyertai program berkenaan yang kali ketiga dianjurkan di negeri ini.
Abang Abdul Wahap berkata, ketika negeri ini serba kekurangan kemudahan sukan pada tahun 1960-an dan 1970-an, sudah ada anak Sarawak yang mewakili negara pada temasya Olimpik.
"Ketika ada atlet kita seperti Kuda Dita (mendiang) membawa cabaran negara pada peringkat antarabangsa.
"Kini jumlah anak Sarawak yang mewakili negara semakin ramai malah ada yang berjaya menyumbang pingat untuk negara pada Olimpik dan dengan kemudahan latihan serba moden ketika ini tidak mustahil Sarawak akan menjadi 'power house' sukan negara," katanya. - BH
Sarawak 'KILANG' Hasilkan Jaguh Sukan
Reviewed by Azmin
on
April 02, 2017
Rating:
No comments: