Seo Services

Serah Urus Mulu Kepada Syarikat China Dibantah


MIRI: Penduduk tinggal di kawasan Mulu, khususnya dalam lingkungan kawasan Taman Negara Mulu, melahirkan kebimbangan dan rasa tidak puas hati dengan hasrat kerajaan negeri mahu menyerah pengurusan taman negara itu kepada sebuah syarikat milik China.

Dennis Along daripada Majlis Bertindak Masyarakat Long Terawan/Mulu, berkata masyarakat Berawan Tering, melahirkan rasa terkejut dengan tindakan itu, yang dilihat sebagai membelakangkan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan tersebut, tanpa memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu.

“Apabila kami membaca laporan akhbar mengenai perkara itu hari ini (semalam), rata-rata masyarakat Berawan Tering dari kawasan Mulu dimaklumkan dengan khabar ini melahirkan rasa terkejut dan perasaan kami bercampur-campur.

“Tidak kurang juga (ramai) yang melahirkan kurang senang dengan perkembangan ini,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Jika selama ini katanya, pengurusan Taman Negara Mulu dilakukan oleh pengurusan dari luar negara iaitu dari Australia, kini sekali lagi tanpa merujuk kepada penduduk tempatan, kerajaan ‘menyerahkan’ pengurusan Mulu kepada syarikat dari China.

“Sebagai masyarakat atau penduduk asal Mulu, kami berharap dan berasakan wajar bagi kerajaan negeri mempertimbang syarikat tempatan khususnya kalangan penduduk asal.

“Bukannya menyerahkan begitu sahaja kepada syarikat negara asing, yang tidak tahu mengenai budaya dan latar belakang masyarakat setempat serta adat resam dan sejarah taman negara itu sendiri,” jelas beliau.

Selain itu katanya, jika terdapat perubahan syarikat menguruskan Taman Negara Mulu, mereka berharap kerajaan negeri memaklumkan perkara tersebut dahulu dengan mengadakan dialog bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan penduduk asal di siu.

“Sebaliknya perkembangan berlaku ini seolah-olah menunjukkan kerajaan negeri tidak menghormati kami sebagai penduduk asal di kawasan Mulu.

“Hinggakan tiada seorang pun ketua masyarakat Berawan Tering dimaklumkan mengenai perkembangan tersebut sehingga kini,” tambahnya.

Dahulu sebelum Taman Negara Mulu diwujud dan digazet, pihak kerajaan ketika itu telah bertanya dan meminta kebenaran daripada ketua masyarakat Berawan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Tetapi kini tindakan kerajaan bukan sahaja tidak mempedulikan kami, malah menyerahkan kawasan Mulu kepada negara China, tanpa kebenaran dan bertanya kepada kami terlebih dahulu,” ujarnya kesal.

Lebih membimbangkan lagi jika syarikat dari China yang dilantik menguruskan taman negara tersebut, hanya akan mengambil pekerja dari negara itu sahaja.

“Lebih membimbangkan lagi sekiranya tanah Hak Adat Bumiputra (NCR) kami turut diserah kepada syarikat dari luar ini juga, tanpa pengetahuan kami,” jelas beliau.

Sehubungan itu katanya, majlis bertindak tersebut yang mewakili penduduk terutama kaum Berawan Tering membantah penyerahan pengurusan Taman Negara Mulu kepada syarikat dari China itu.

“Sepatutnya kerajaan berpegang kepada slogan ‘Rakyat Didahulukan’. Kami adalah rakyat Malaysia, malah penduduk asal Mulu, yang sepatutnya didahulukan, sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

Laporan seperti disiarkan di sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam, menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak akan menyerahkan pengurusan Taman Negara Mulu dan sebuah lagi, Taman Negara Bako di Kuching kepada syarikat Beijing Glory International Culture Development Co. Ltd (Beijing Glory).

Langkah itu merupakan salah satu daripada perkara termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama oleh kedua-dua pihak, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mewakili kerajaan negeri dengan Beijing Glory, di sebuah hotel di Beijing, China pada Selasa, sempena lawatan rasmi Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ke China bermula Ahad lalu. -UB
Serah Urus Mulu Kepada Syarikat China Dibantah Serah Urus Mulu Kepada Syarikat China Dibantah Reviewed by Unknown on April 06, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.