MUNICH - JERMAN: Kesesakan lalu lintas berjam-jam membuatkan Benjamin David, 40, sanggup berenang di Sungai Isar sejauh dua kilometer untuk ke tempat kerjanya di Kulturstrand.
Memetik laporan portal Odditycentral, Benjamin David menjadi seorang daripada ribuan orang di bandar Munich yang berusaha untuk mengelak daripada berdepan kesesakan jalan raya.
Pernah berbasikal untuk ke tempat kerja suatu ketika, tetapi dua tahun yang lalu dia memutuskan bahawa dia perlu mencari alternatif yang lebih mudah dan Sungai Isar adalah jawapannya.
Bekerja sebagai pengasas dan jurucakap sebuah kumpulan pemikir, setiap pagi Benjamin akan meninggalkan apartmentnya di Baldeplatz dan berenang melalui Sungai Isar dengan mengambil masa kira-kira 30 minit.
Lebih menarik, setelah sampai, Benjamin mengeringkan dirinya dengan tuala, memakai t-shirt dan menikmati cappuccino di sebuah kafe sambil menunggu rakan-rakannya yang terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Benjamin membawa beg khas kalis air bagi memastikan pakaian yang dibawanya kering selain peralatan kerjanya seperti dokumen dan komputer riba tidak rosak.
Selain itu, Benjamin turut menekankan aspek keselamatan ketika berenang melalui sungai itu dengan menyemak di talian keadaan arus, suhu dan paras air.
Sekarang, Benjamin adalah satu-satunya orang di Munich yang menggunakan Sungai Isar untuk perjalanan ke tempat kerja.
Dianggarkan 30,000 orang yang berpindah ke bandar Jerman setiap tahun, pastinya membuatkan lalu lintas semakin sesak dan Benjamin tidak menolak kemungkinan beberapa rakannya akan mengikut jejaknya untuk berenang bagi ke tempat kerja. - Agensi/Sinar Harian
Berenang Untuk Elak Trafik Sesak
Reviewed by uMieySurianie
on
July 31, 2017
Rating:
No comments: