Seo Services

KL2017: Skuad Boling Padang Hampiri Sasaran Empat Emas


KUALA LUMPUR - Skuad boling padang negara menghampiri sasaran empat pingat emas apabila meraih kilauan emas ketiga menerusi acara triples wanita pada final di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara di sini hari ini.

Ia diperoleh menerusi gandingan Azlina Arshad, Noorazlinda Zakaria dan Zuraini Khalid yang mencipta kemenangan bergaya 19-11 ke atas Filipina diwakili Vilma Greenlees, Rosita Bradborn dan Hazek Jagonoy selepas permainan yang amat mendebarkan.

Terdahulu, skuad triples lelaki menewaskan Brunei 19-9 pada sebelah pagi sekali gus menjadi pembakar semangat kepada triples wanita untuk mengutip emas ketiga dalam usaha melengkapkan buruan empat emas untuk boling padang.

Aksi perlawanan agak sengit menyaksikan skuad wanita Malaysia ketinggalan empat mata pada ends keenam, namun ia tidak mematahkan semangat trio wanita negara itu bangkit untuk menyamakan kedudukan pada ends kesembilan dengan mata seri 9-9.

Kedua-dua pasukan kemudiannya saling mengejar mata untuk berada di hadapan, namun skuad negara berjaya mendahului pasukan lawan pada ends ke-13 dengan pungutan mata 14-10. Mereka terus mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten sehingga tamat perlawanan.

Brunei mengutip gangsa selepas menewaskan Thailand dengan mata 15-11.

"Saya boleh simpulkan setakat ini persembahan semalam (fours) dan hari ini (triples) adalah yang terbaik. Sering kali saya ingatkan mereka agar bermain secara taktikal dan jangan mudah goyah," kata pengurus skuad negara Abd Hadi Abdul Rasip kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, trio wanita senada menyifatkan kemenangan itu sebagai penyuntik semangat kepada rakan sepasukan yang akan bertanding dalam pusingan final pairs lelaki esok pada 9 pagi, pairs wanita pada 3 petang diikuti single lelaki serta single wanita pada Sabtu.

"Kami akui ada rasa gementar apabila ketinggalan pada aksi awal, namun kami tidak putus asa kerana perasaan gementar itulah yang membangkitkan semangat kami," menurut Azlina. - BERNAMA
KL2017: Skuad Boling Padang Hampiri Sasaran Empat Emas KL2017: Skuad Boling Padang Hampiri Sasaran Empat Emas Reviewed by Unknown on August 25, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.