BANGKOK: Bintang pecut Thailand Jirapong Meenapra mengakui pelari pecut Malaysia Khairul Hafiz Jantan ialah pelari pecut terbaik rantau ini pada ketika ini berdasarkan prestasi mengagumkan pelari itu, dan yang perlu 'dikalahkan' dalam acara 100m dan 200m Sukan SEA Kuala Lumpur.
Katanya kejayaan diraih pelari pecut Malaysia itu baru-baru ini juga telah menjadikan anak kelahiran Melaka itu antara pelari pecut terbaik di Asia dan meletakkannya jauh di depan berbanding pelari pecut lain di rantau itu.
"Khairul Hafiz Jantan yang terbaik di Asia tenggara pada ketika ini. Dengan catatan peribadi terbaik dalam 100m dan 200m, beliau juga antara yang terbaik di Asia," katanya ketika ditemui Bernama selepas menjalani latihan di Thammasat University-Rangsit, di pinggir ibu negara ini baru-baru ini.
Dikenali sebagai "The Speedy Jantan" pelari berumur 18 tahun itu memegang rekod kebangsaan dalam acara 100m dan 200m dengan catatan masa 10.18s dan 20.90s yang direkodkan tahun lepas dan bulan lepas.
Jirapong berkata beliau bersaing dengan Khairul Hafiz pada Terbuka Thailand di Bangkok beberapa bulan lepas dengan pelari Malaysia itu muncul pemenang, tetapi mengingatkan pemerhati untuk tidak menjadikan keputusan itu sebagai ukuran kerana dirinya tidak 100 peratus cergas dan pulih daripada kecederaan semasa perlumbaan itu.
"Saya mengalami kecederaan di kaki dalam perlumbaan itu dan tahap keseluruhan kecergasan saya hanya antara 70 hingga 80 peratus pada ketika itu. Kini keadaan adalah berbeza kerana saya 100 peratus cergas dan bersedia mencapai kemuncaknya pada Sukan SEA KL," kata pelari pecut Thailand itu, yang merupakan penuntut ijazah lanjutan di Universiti Bangkok.
Jirapong, 24, yang menjadi wira peminat sukan olahraga Thailand semasa memenangi pingat emas 100m dan 200m pada Sukan SEA 2013 di Myanmar, bersikap merendah diri dengan tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi pada Sukan SEA KL yang akan berlangsung secara rasminya pada 19 Ogos.
"Sasaran saya ialah penyudah podium bagi 100m dan 200m pada Sukan SEA," kata anak kelahiran Surat Thani' itu, yang kecewa apabila rakan senegaranya hanya menduduki tempat kelima dalam 100m dan pingat gangsa dalam 200m pada Sukan SEA Singapura dua tahun lepas.
Keputusan pada dua tahun lepas itu membuatkan dirinya gusar kerana kebanyakan rakyat Thailand kini meletakkan harapan tinggi untuk dirinya mempertahankan dua pingat diraih negara dalam acara pecut pada Sukan SEA Myanmar.
Bagi Sukan SEA KL, pelari yang mudah mesra dan peramah itu mengambil pendekatan berbeza dalam persediaannya dengan tidak mahu tertalu tertekan kerana itu lebih baik untuk dirinya dalam sesuatu pertandingan.
"Pada kali ini, saya dan jurulatih menetapkan jadual latihan saya tanpa memberikan tekanan kepada saya. Saya fikir latihan jenis ini adalah lebih baik dan langsung tidak rasa tertekan untuk beraksi di Kuala Lumpur. Saya hanya mahu menghadapinya dengan rasa seronok," katanya.
Beliau yakin akan mencatatkan prestasi dan masa lebih baik apabila dirinya tidak terlalu tertekan dengan jangkaan terlalu tinggi.
Pelari pecut Thailand itu menyasarkan melakukan catatan masa sekurang-kurangnya 10.3s dalam 100m dan 20.8s bagi 200m di Kuala Lumpur, cukup untuk meraih pingat di Kuala Lumpur.
Selain Khairul Hafiz, pelari pecut lain di rantau ini seperti Bobby Yaspi dan Iswandi daripada Indonesia serta Le Truong Vinh daripada Vietnam turut merekodkan catatan mata baik dalam 100m dan 200m, dan bakal memberi cabaran sengit untuk merebut gelaran Raja Pecut Sukan SEA KL, katanya.
Menurut Jirapong, bintang pecut Filipina Eric Cray menjuarai acara 100m di Singapura dua tahun lepas tidak mempertahankan gelarannya itu di Kuala Lumpur dan sebaliknya hanya akan menumpukan pada acara kegemarannya , acara 400m lari berpagar.
Cray, bintang olahraga keturunan Filipina-Amerika memenangi acara paling berprestij itu dengan catatan masa terpantas 10.25s. - BERNAMA
Pelari Pecut Thailand Jairapong Mahu 'Kalahkan' Khairul Hafiz
Reviewed by Azmin
on
August 15, 2017
Rating:
No comments: