Seo Services

Status Halal Ayam Diragui


Sebuah pasar raya di Tawau diarahkan menghentikan jualan dan memulangkan 300 kotak ayam sejuk beku yang diragui status halalnya kepada pembekal dalam masa tiga hari, bermula hari ini.

Pegawai Tadbir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau, Abdul Imam Basirun berkata, pihaknya mengeluarkan arahan terbabit selepas melakukan pemeriksaan di pasar raya itu semalam.

“Ketika pemeriksaan dijalankan di dalam bilik sejuk beku pasar raya berkenaan, terdapat 300 kotak berisi ayam yang sudah ditanggalkan kod asalnya dan diganti dengan kod halal.

“Setiap pasar raya hanya dibenarkan menjual ayam import dari Belanda dengan kod NL5048EG sahaja kerana ia sudah diperakui halal,” katanya.

Operasi Halal itu disertai oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Ternakan (JPHT) Tawau, Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Koperasi (KPDNKK).

Mengulas lanjut, Abdul Imam yang mengetuai operasi itu berkata, JPHT mengarahkan pasar raya itu menghentikan jualan ayam itu serta merta.

“Jika gagal berbuat demikian (termasuk memulangkan ayam kepada pembekal), semua ayam berkenaan akan dirampas dan tindakan undang-undang juga dikenakan,” katanya.-myMetro
Status Halal Ayam Diragui Status Halal Ayam Diragui Reviewed by Unknown on August 24, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.