Seo Services

JPJ Buka Kertas Siasatan Rolls Royce Aliff Syukri


KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuka kertas siasatan dan menghantar notis temu siasat kepada pemilik kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost yang dilaporkan disita dalam operasi JPJ, tengah malam Ahad lalu.

Kenderaan itu didapati menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan Sarawak sedangkan kenderaan terbabit digunakan di Semenanjung.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Ismail Mohd Zawawi, berkata notis berkenaan dihantar kepada syarikat kosmetik D'Herbs Holding Sdn Bhd tengah hari tadi selepas pihaknya mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama syarikat berkenaan.

"Kita sudah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan notis dihantar bagi memastikan pemilik kenderaan terbabit hadir memberi keterangan.

"Selepas notis diterima, pemilik diberi tempoh dua hingga tiga minggu untuk tampil ke pejabat JPJ dan membawa segala dokumen yang berkaitan bagi membantu proses siasatan.

"Mengikut peraturan yang ditetapkan, pemilik perlu membayar caj perbezaan antara LKM Sarawak dengan Semenanjung," katanya ketika dihubungi BH.

Kelmarin, BH Online melaporkan JPJ menyita sebuah kereta mewah jenis Rolls Royce Ghost milik pengasas D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri dalam Ops Patuh yang diadakan sempena sambutan ambang tahun baharu.

Selain itu, dua warga Australia yang berada dalam kenderaan itu turut ditahan masing-masing kerana tidak memiliki lesen memandu sah di negara ini dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Mengulas mengenai kenyataan Aliff Syukri yang menafikan keretanya disita, Ismail berkata, kereta itu disita sementara bagi membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia memproses dokumentasi dua warga Australia kerana disyaki tidak memiliki dokumen sah.

"Selepas proses dokumentasi selesai, mereka melepaskan dua warga Australia berkenaan, sebelum JPJ melepaskan kenderaan itu kepada pemandunya.

"Kita sita dan lepaskan, tidak bermakna kita lepaskan terus, dan tidak semestinya bila kita sita kereta, kita akan ambil malam itu juga," katanya. - BH
JPJ Buka Kertas Siasatan Rolls Royce Aliff Syukri JPJ Buka Kertas Siasatan Rolls Royce Aliff Syukri Reviewed by Unknown on January 02, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.