KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan mengalu-alukan penduduk berketurunan India membeli kediaman Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) kerana terdapat kuota pembelian rumah itu untuk kaum tersebut di ibu negara.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerajaan memperuntukkan dana khas sebanyak RM50 juta kepada Yayasan Wilayah Persekutuan bagi pembeli kaum India yang mahu membuat pinjaman untuk pembelian unit Rumawip.
Jelasnya, usaha itu membuktikan Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak meminggirkan kaum India sebaliknya memberi perhatian penuh terhadap permasalahan mereka di Wilayah Persekutuan.
“Dalam program seperti Rumawip dan perumahan rakyat, kita sentiasa memastikan supaya kuota tertentu diberi kepada kaum India. Justeru, saya rayu supaya mereka datang ke seluruh pusat jualan Rumwip yang disediakan untuk membeli kediaman itu,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Ponggal 2018 di Yayasan Wangsa Perdana di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.
Dalam perkembangan sama, Tengku Adnan berkata, kaum India digesa bersatu kerana tidak ada parti selain BN yang sentiasa prihatin demi menentukan nasib rakyat Malaysia.
“Tanyalah wakil rakyat pembangkang, mereka hanya cakap (dan) cakap tetapi tidak buat kerja. BN cakap dan buat kerja. Saya percaya dengan semangat dan penyatuan dalam program hari ini dapat dikekalkan sehingga musim pilihan raya akan datang, Insya- Allah, Wangsa Maju di dalam tangan BN,” katanya.- UTUSAN ONLINE
Kaum India Tidak Dipinggirkan - Tengku Adnan
Reviewed by uMieySurianie
on
January 29, 2018
Rating:
Reviewed by uMieySurianie
on
January 29, 2018
Rating:

No comments: